Ganjaran bantu tangkap 4 Jahanam

EMPAT lelaki ini dikehendaki polis kerana terlibat dalam jenayah samun bersenjata.


KUALA LUMPUR - Polis menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai identiti Penjahat Empat Jahanam yang bertindak menyamun sebuah klinik di pinggir ibu kota pada awal Disember lalu sebagai usaha untuk memburu mereka hingga ke lubang cacing.

Ganjaran itu akan diberikan kepada orang ramai yang mempunyai maklumat hingga tertangkapnya kesemua atau sebahagian daripada empat suspek tersebut.

Seorang pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya memberitahu, maklumat itu penting kerana kesemua mereka merupakan penjenayah tegar dan berbahaya. Mereka diberi gelaran 'geng penyamun premis bersenjata'.




Gelaran tersebut diberikan selepas pihaknya menjalankan siasatan lanjut sejak menerima laporan daripada mangsa-mangsa kumpulan itu.

Setakat ini, polis masih belum mengenal pasti identiti mereka walaupun telah menunjukkan gambar keempat-empat suspek kepada beberapa individu sama ada yang pernah menjadi mangsa samun atau penduduk beberapa kawasan di sini.

"Kita juga masih belum dapat mengesahkan cap jari yang terdapat di premis tersebut kerana mereka hanya menyamun barangan kemas dan berharga milik mangsa dan pelanggan.

"Cap jari di pintu juga gagal ditimbulkan disebabkan berlaku pertindihan kerana dipegang oleh ramai orang," katanya ketika dihubungi di sini semalam.


KERATAN muka depan Kosmo! semalam.


Semalam Kosmo! menyiarkan gambar aksi empat lelaki Melayu yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV). Ketika itu mereka sedang menyamun sebuah klinik.

Berdasarkan rakaman tersebut, kesemua suspek mula memasuki premis yang mempunyai empat jururawat, seorang doktor dan seorang pesakit pada pukul 2.35 petang. Mereka berpura-pura hendak mendapatkan rawatan.

Menurut jurucakap tersebut, suspek berkemungkinan penduduk di kawasan berkenaan berdasarkan pengetahuan mereka mengenai lokasi dan selok-belok klinik tersebut.