Dua didakwa curi enjin jet RM50j

Oleh WAZIHA WAHID


Tharmendran


PETALING JAYA - Seorang sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pengarah sebuah syarikat mengaku tidak bersalah pada perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap pertuduhan membabitkan kes kecurian dua buah enjin pesawat F-5E TUDM tahun lalu.

Anggota TUDM itu, N. Tharmendran, 42, menghadapi dakwaan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop mencuri dua enjin itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.


Rajandran


Tertuduh kedua, K. Rajandran Prasad, 38, pengarah sebuah syarikat pembekalan pula didakwa sengaja membantu melupuskan barang curi itu yang bernilai RM50 juta dan kali terakhir dipercayai berada di Uruguay.

Walaupun pihak pembelaan memohon bayaran ikat jamin rendah berikutan kesemua akaun bank kedua-dua tertuduh telah dibekukan, Hakim Aslam Zainuddin menetapkan amaun RM150,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.