Agihan zakat dipelbagaikan

Oleh SITI AINIZA KAMSARI


Jamil Khir Baharom (kanan) menerima agihan zakat perniagaan daripada wakil Institut Jantung Negara, dengan disaksikan oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Mustapha Abdul Rahman (dua dari kiri) pada majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Agihan 2009.


MUNGKIN ramai yang tertanya-tanya atau masih tidak puas hati mengenai ke mana wang zakat diagih-agihkan.

Lebih-lebih lagi, selepas pengurusan kutipan zakat di kebanyakan negeri di negara ini berwajah korporat.

Hampir setiap tahun sejak kaedah korporat itu mula diperkenalkan oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan pada tahun 1991 dan diikuti oleh beberapa negeri lain, nilai kutipan telah menjangkau sehingga berbilion ringgit.

Pengerusi Koperasi Masjid Zon Satu Kuala Lumpur Berhad, Mohd. Nazri Abdullah memberikan sedikit jawapan.

"Saya sendiri tidak menyangka bahawa ada antara duit-duit zakat yang berjaya dikutip itu, sebanyak RM200,000 daripadanya telah saya terima hari ini.

"Ia bagi membantu sebuah syarikat koperasi kami membuka pusat rawatan mencuci darah atau hemodialisis yang bakal dikenali sebagai Pusat Hemodialisis Al Mizan tidak lama lagi," katanya.

Koperasi Masjid Zon Satu Kuala Lumpur Berhad (melibatkan sembilan masjid dan 57 surau) bercadang membuka pusat rawatan ini bagi memenuhi keperluan para ahli atau lebih tepat lagi para pesakit buah pinggang berdekatan dengan pusat itu.

Ini bagi memudahkan mereka menjalani rawatan mencuci darah tanpa perlu ke tempat yang lebih jauh.

Pusat rawatan tersebut akan beroperasi di Kompleks Masjid Imam al Ghazali, Bandar Manjalara Kepong dan dijangka mula menawarkan perkhidmatannya pada Mac 2010.

"Segala kos perbelanjaan membina pusat yang mengandungi 21 mesin hemodialisis bagi menampung rawatan seramai 80 pesakit pada satu-satu masa itu dianggarkan sebanyak RM2.5 juta.

"Maka dengan pemberian sebanyak RM200,000 dari Baitulmal Wilayah iaitu sebahagian daripada duit zakat yang berjaya diperoleh oleh PPZ MAIWP telah memberikan suntikan semangat yang sangat besar kepada kami.

"Ini terutamanya untuk menampung kos pengubahsuaian yang kontraktornya dilantik sendiri oleh MAIWP," katanya.

Justeru kata Nazri, wang kutipan zakat tersebut benar-benar kembali untuk membantu umat Islam terutama dari aspek rawatan dan kesihatan umat itu sendiri.

Katanya, kekurangan pusat rawatan seperti ini yang dikendalikan oleh umat Islam menyebabkan ada pesakit kita akan meminta bantuan dan menjalani rawatan daripada pengendali bukan Islam.

"Walaupun tindakan itu sebenarnya tidak salah malah ada kala mereka menawarkan pada kos yang murah, namun ia bukannya alasan bagi kalangan umat Islam itu untuk tidak mengambil tanggungjawab untuk membantu saudara mereka sendiri.

"Malah untuk niat semurni ini, tuhan permudahkan urusan malah pihak kami tidak perlu mengambil masa yang lama untuk membuat permohonan bantuan untuk menampung kos pengubahsuaian itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Asrama Darul Falah (ASDAF), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Bukit Persekutuan Kuala Lumpur, Yaakob Lazim berkata, beliau amat bersyukur kerana menerima bantuan RM300,000 dari Baitulmal MAIWP.

"Saya tidak segan untuk mengatakan, jika tidak mendapat bantuan daripada agihan zakat ini, ASDAF mungkin akan ditutup," katanya.

Beliau berkata, ASDAF satu-satunya institusi di negara ini yang sejak 15 tahun ditubuhkan bagi membela nasib anak-anak Orang Asli.

Lebih tepat lagi ia berjihad untuk mempertahankan syahadah dan iman mereka terhadap Islam.

Menurut Yaakob, setiap tahun mereka memerlukan sekurang-kurangnya setengah juta (RM620,00 pada tahun 2008) bagi membiayai 55 anak-anak Orang Asli.

Ia termasuk urusan persekolahan mereka dari tahun satu sehinggalah tamat peringkat sekolah menengah di tingkatan lima.

"Di sini, anak-anak Orang Asli walaupun dilahirkan Islam namun pegangan mereka tidaklah begitu kuat kerana mempunyai latar belakang keluarga yang kurang memuaskan, ibu bapa bercerai, kematian ibu bapa, hilang tempat bergantung dan di samping ibu bapa dan keluarga yang kurang penghayatan terhadap Islam.

"Maka di sini, kita pertahankan Islam mereka di samping memastikan mereka adalah anak-anak yang juga berjaya dalam pendidikan dan untuk semua itu, kita perlu tanggung sendiri tanpa mendapat bantuan yang rasmi daripada mana-mana pihak.

"Jadi mujur ada Baitulmal MAIWP dan saya bagi pihak ASDAF amat bersyukur dan berterima kasih atas bantuan ini bagi membolehkan agenda untuk membela anak-anak Orang Asli dapat diteruskan," katanya.

Kedua-dua mereka ditemui di Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Agihan 2009 anjuran PPZ dan Baitulmal MAIWP di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penjenamaan semula

Pada majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Jamil Khir Baharom menerima penyerahan zakat perniagaan dari 14 syarikat sebanyak RM2,566,559.73 bagi pihak PPZ dan Baitulmal MAIWP.

Beliau kemudiannya mengagihkan RM522,490,00 kepada enam penerima bantuan zakat untuk pelbagai kategori.

Dalam majlis ini juga PPZ melancarkan penjenamaan semula skim potongan gaji zakat bulanannya dengan nama baru yang dipanggil Skim Thohir.

Sebelum ini skim itu dikenali sebagai skim potongan gaji dan telah bermula sejak 16 tahun PPZ beroperasi untuk umat Islam di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Berkuatkuasa mulai Januari awal tahun ini, para majikan boleh meremitkan potongan zakat daripada membayar cukai (LHDN).

Penyelarasan terus hendaklah dibuat dengan mengambil kira amaun zakat dan mengurangkan dari PCB sesuatu bulan.

Borang kebenaran potongan gaji zakat (PPZ 052) boleh diperoleh daripada pihak PPZ .

Pihak majikan hanya perlu menghantar dokumen-dokumen berikut kepada PPZ setiap bulan, iaitu:

lBorang kebenaran potongan gaji zakat 'salinan PPZ' bagi pembayaran kali pertama sahaja.

lSenarai nama pembayar, no. kad pengenalan lama dan baru, jumlah potongan bulanan dan bulan potongan.

lCek pembayaran atas nama Pusat Pungutan Zakat

Bayaran hendaklah dihantar sebelum atau pada 10 hari bulan setiap bulan. Proses pembayaran zakat melalui potongan gaji zakat ini boleh juga dibuat melalui pertukaran disket di antara PPZ dengan majikan.

Antara kemudahan yang disediakan oleh PPZ bagi pembayaran zakat mereka ialah melalui pejabat pos, kaunter bank, perbankan melalui telefon (phone banking), mesin ATM, perbankan Internet (Internet banking), arahan tetap, kad kredit, perbankan sistem pesanan khidmat ringkas (SMS banking), Biro Angkasa, firma audit yang dilantik dan sebagainya.

Adalah diharapkan semua kemudahan yang disediakan dapat membantu orang ramai untuk menunaikan tanggungjawab mereka bagi membantu mereka yang memerlukan.