Pemandu mengaku tak bersalah

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI


RASHID dibawa ke Mahkamah Khas Trafik Ipoh semalam dan didakwa atas tuduhan menyebabkan 10 orang terbunuh dalam kemalangan Sabtu lalu.



KERATAN Kosmo! 27 Disember.


IPOH - Pemandu bas Sani Express, Mohd. Kamil Mohd. Rashid, 38, didakwa di Mahkamah Khas Trafik di sini semalam atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian 10 penumpang dalam kemalangan ngeri di sini Sabtu lalu.

Mohd. Kamil, 38, dari Yan, Kedah yang lengkap berpakaian uniform pemandu syarikat bas syarikat tersebut bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan itu.

Dia didakwa memandu secara melulu atau dengan kelajuan sehingga menyebabkan kematian Shaharin Mohd. Nor, 61, isterinya, Supiah Adam, 46, Mohd. Shukri Mohd. Ali, 22, Mohd. Bilal Osman, 22, dan Noor Jasmi Noordin, 25.

Turut terbunuh dua adik beradik iaitu Ng Kah Kit, 14, dan kakaknya, Ng Poh Ngoh, 23, serta Sharifah Hasanah Al-Junid Syed Garun , 15, dan kakaknya, Sharifah Raheel, 21, dan Musa atau Ismail Abdullah.