Pemandu didakwa lepas tangan

IPOH: Pemandu utama bas ekspres dua tingkat yang terbabit dalam kemalangan ngeri awal pagi kelmarin bersama pembantunya didakwa lepas tangan dengan membiarkan penumpang yang cedera dan tersepit dalam kenderaan itu tanpa membantu mengeluarkan mereka.

Seorang penumpang yang cedera, Siti Nur Munirah Hashim, 30, berkata kedua-dua mereka bertindak menyelamatkan diri masing-masing tanpa menghiraukan jeritan mangsa meminta tolong.

“Sejurus kejadian, pemandu bas hanya bertanya sama ada penumpang cedera atau tidak sedangkan mereka sendiri sudah melihat ada penumpang sudah tidak bernyawa.

“Mungkin panik selepas melihat ramai mangsa yang maut menyebabkan mereka terus keluar dari bas berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) itu, bas dua tingkat yang membawa 50 penumpang termasuk pemandu dan pembantunya dalam perjalanan dari Klang ke Kangar dikatakan tidak dapat dikawal dan terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan.