NUZAIHAN Mustapa (kanan) yang cacat pendengaran menggunakan isyarat tangan ketika melafazkan akad nikah di hadapan Jurunikah sambil ditemani pasangannya yang berketurunan Cina, Qistina Low Li Cheng yang juga cacat pendengaran dalam majlis persandingan pasangan istimewa di Balai BAKTI, TTDI, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR 5 Dis. – Cinta sepasang insan istimewa, Nurzaihan Mustapa dan Qistina Low Li Cheng yang dilahirkan cacat pendengaran akhirnya membawa ke jinjang pelamin.

Cinta mereka berputik sejak enam tahun lalu selepas tiga pertemuan di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi dan di Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) di sini.

Nurzaihan, 28, anak tunggal kepada Mustapa Ibrahim dan Maryam Abdullah ialah seorang pelukis grafik di Balai Seni Lukis Negara, berkelulusan ijazah sarjana muda dari Universiti Lim Kok Wing.

Sementara itu Qistina, anak bongsu pasangan Loh Poh Wing dan Tan Saw Kim pula ialah graduan diploma dari universiti yang sama dan kini bekerja sebagai pelukis grafik di sebuah syarikat animasi tempatan di Puchong.

Demi cinta, Qistina memeluk agama Islam setelah lebih setahun mempelajarinya daripada sahabat terdekat dan ikatan mereka itu direstui kedua ibu bapa walaupun berlainan agama.

‘‘Saya jatuh cinta dengan Zaihan kerana dia seorang yang kacak, baik, dan sentiasa memberi nasihat serta mengajar saya mengenai Islam.

‘‘Saya rasa gembira kerana selepas enam tahun menghadapi cabaran dan dugaan, akhirnya kami disatukan,” katanya kepada pemberita di Balai Badan Kebajikan Islam Taman Tun Dr. Ismail di sini hari ini.

Hadir sama di majlis akad nikah dan persandingan mempelai itu ialah penasihat MFD, Tan Sri Saleha Mohd. Ali dan Mejar Jeneral (B) Datuk Mohamed Ali Wayat serta Presiden MFD, Mohamad Sazali Shaari.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh kadi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Zulkeffly Adimun dengan mas kahwin seutas rantai dan cek bernilai RM5,000 serta tujuh dulang hantaran lelaki berbalas sembilan.

Nurzaihan melafazkan akad nikah sebanyak dua kali menggunakan bahasa isyarat dengan bantuan juru bahasa sebelum diijab kabul sebagai pasangan suami isteri yang sah.

Dia yang mengakui tertarik dengan keperibadian Qistina yang bersemangat, cantik dan suka memberi galakan, berhasrat untuk menimang dua orang cahaya mata bersama isterinya.

Sementara itu Mohamad Sazali berkata, majlis pernikahan berkenaan mengikut cara yang betul kerana melafazkan nama si isteri biarpun menggunakan bahasa isyarat.