Detektif Lim dijel dua bulan, denda RM2,000

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN


FARID hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam untuk mendengar keputusan kes mencuri dua buah buku iaitu Decoding The Heavens (gambar kecil) dan buku The Sistine Secrets.



KERATAN Kosmo! 15 Mei 2009.


KUALA LUMPUR - Harapan pelakon drama bersiri Gerak Khas, Farid Amirul Hisham Wu Abdullah, 43, atau lebih dikenali sebagai 'Detektif Lim' untuk bebas daripada tuduhan mencuri dua buah buku di Mid Valley, Megamal di sini tinggal harapan apabila dia dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 apabila didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.

Majistret Mohd. Faizi Che Abu membuat keputusan tersebut selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah terhadap pelakon berkenaan.

Faizi mengarahkan Farid supaya menjalani hukuman itu berkuat kuasa semalam dan penjara dua bulan lagi jika dia gagal membayar denda tersebut.

Namun, Faizi kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan tertuduh di Mahkamah Tinggi selesai.

Faizi mengenakan wang ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin. Farid membayar wang ikat jamin tersebut.

Faizi ketika membuat keputusan itu berkata, mahkamah mempunyai alasan tersendiri untuk memilih tidak mempercayai keterangan tertuduh berdasarkan dua penilaian yang dibuat terhadap tertuduh.

"Satu alasan, keterangan tertuduh hanya dilihat berbentuk penafian semata-mata.

"Alasan kedua, kes ini tidak menunjukkan kredibel kerana tertuduh kerap menyatakan dia tidak ingat tempat kejadian walaupun kejadian itu berlaku hanya pada penghujung bulan Mac lalu.

"Secara logiknya tertuduh masih boleh mengingati kejadian kerana ia merupakan kejadian buruk yang pernah menimpa diri tertuduh," kata Faizi lagi.

Faizi memberitahu, antara isu yang ditimbulkan pihak pembelaan sepanjang perbicaraan adalah ketiadaan rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan ketiadaan gambar rajah secara kasar tempat kejadian tetapi kedua-duanya itu tidak menunjukkan keraguan terhadap kes pendakwaan.