Seru si 'hitam manis'

Oleh Hazirah Che Sab

zeehan@bharian.com.my




Rahsia jinakkan lebah madu pokok tualang

'Hitam manis, hitam manis,
Turun ikut bintang,
Turun rapat-rapat,
Tidur diam-diam.'


SEKALI imbas ia seolah-olah jampi mantera atau lagu rakyat mendodoikan bayi. Namun bait-bait ayat yang membentuk ritma menarik itu sebenarnya petua digunakan sejak zaman berzaman untuk menarik lebah keluar dari sarangnya yang terletak tinggi di atas pokok tualang untuk memudahkan kerja mengambil madu.

Menggunakan akar marau, pengumpul madu tualang biasanya akan membakarnya sebagai jamung untuk memperdayakan lebah dengan melibas ke batang pokok tualang bagi menjatuhkan baranya.

Ketika inilah bait-bait petua berkenaan disebut dengan terang dan jelas. Ia seperti tidak masuk akal tetapi ternyata petua itu berkesan memikat lebah terbang mengikut bara jamung yang disebut sebagai bintang dan akan tidur di perdu pokok sehingga awal pagi sebelum pulang ke sarang.

Tidak ketahui asal usul petua itu kerana ia sudah digunakan sejak sekian lama oleh setiap pengutip madu tualang.
Seorang pengutip madu tualang yang kepakarannya diakui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kedah, Abdul Samad Ahmad, 51, berkata beliau mendapat petua itu daripada kumpulan pertama pengutip madu disertainya.

"Apabila ditanya mereka memberitahu ia diperoleh daripada orang dulu yang juga didapati oleh pengutip madu terdahulu. Jadi, asal usulnya tidak diketahui tetapi ia digunakan pengutip madu dan memang berkesan untuk menarik perhatian lebah keluar dari sarang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Khasiat madu tualang asli sudah terlalu kerap diperkatakan dan keberkesanannya dalam merawat pelbagai masalah kesihatan memang tidak boleh dinafikan, apatah lagi dengan Allah sendiri memberi jaminan mengenainya dalam surah lebah (An-Nahl) tetapi tidak ramai yang mengetahui cara mengambil madu berkenaan yang berada dalam sarang pada pokok tualang dengan ketinggian melebihi 50 meter.

Bertemu dengan Abdul Samad yang mesra dipanggil Pak Samad memberi peluang kepada penulis mendapat gambaran jelas mengenai cara mengutip madu tualang yang nyata penuh dengan 1,001 macam cabaran.

Pengalaman mengikut beliau mendaki ketinggian kira-kira 1,127 meter di hutan simpan di Sik, Kedah, untuk 'berjumpa' sebatang pokok tualang membuatkan penulis tiba-tiba menyalahkan diri sendiri kerana selalu merungut harga madu yang mahal.

Pada ketinggian 45 meter dengan saiz perdunya saja kira-kira tujuh pemeluk lelaki dewasa, pokok tualang yang ditemui itu bagaimanapun disifatkan Pak Samad antara paling rendah dan kecil di negeri Jelapang Padi itu yang diramalkan akan mati dalam masa tiga atau empat tahun lagi.

Sayangnya, cara pengambilan madu tidak dapat ditunjukkan satu persatu kerana prosesnya dilakukan pada waktu malam. Malah sarangnya juga tidak kelihatan kerana menurut Pak Samad, pada masa ini lebah baru membuat sarang.

Namun, kesempatan melihat pokok tualang yang menjadi tempat persinggahan lebah yang menghasilkan madu paling berkhasiat, sudah mencukupi. Apatah lagi sebatang pokok tualang boleh menempatkan sehingga 100 sarang.

Madu tualang hanya boleh diperoleh di Kedah dari Februari hingga Jun setiap tahun kerana pokok tualang hidup dalam hutan kering.

Madu tualang dihasilkan lebah jenis Apis Dorsata menerusi pengambilan manisan (nektar) bunga yang kemudian diolah dalam badan serangga itu menjadi madu. Ia diiktiraf madu terbaik dan paling berkhasiat kerana dihasilkan daripada lebih 1,000 jenis bunga yang ada dalam hutan di kawasan Tasik Pedu dan Tasik Ulu Muda.

Kepekatan madu bergantung kepada kematangannya ketika dikutip dengan madu matang lebih pekat dan berwarna kuning kemerahan.

Sementara itu, Pegawai Fama Daerah Padang Terap, Azmi Ishak, berkata sebagai pusat sehenti untuk pengguna dan pengumpul madu seluruh negara, Pusat Memproses Madu Lebah Fama Kuala Nerang menyediakan khidmat menguji ketulenan madu, memproses dan pembungkusan.

"Madu lebah yang dibawa ke sini akan diuji terlebih dulu ketulenannya. Madu asli mempunyai kandungan gula tidak lebih 75 peratus dan kandungan air tidak kurang 22 peratus. Jika madu tidak mempunyai ciri-ciri itu, ia akan ditolak.

"Selepas ketulenannya disahkan, madu akan ditapis untuk tujuan pembersihan dan dimasukkan ke dalam mesin 'dihumifier' untuk proses menyejat kandungan air sehingga ke paras 22 peratus. Ia bertujuan mengelakkan madu menjadi masam dan memudahkan proses pembotolan," katanya sambil mengaku ada pihak tidak bertanggungjawab mencampur madu dengan gula dan dihantar ke pusat itu untuk tujuan pemasaran.

Beliau menegaskan, pengguna menikmati khasiat madu tualang asli yang dibotolkan dan diedarkan menggunakan jenama Agromas. Selain madu tualang, pusat berkenaan turut memasarkan madu gelam dan madu ternak tetapi khasiatnya tidak sebaik madu tualang.

INFO: Perbezaan madu asli, madu ternak dan madu tiruan:

  • Madu asli dalam botol mudah diterbalikkan dan apabila digoncang menghasilkan buih dan warnanya berubah, sedangkan madu ternak dan madu tiruan mengalir perlahan apabila diterbalikkan, sukar digoncang.

  • Madu asli apabila disapu di belakang tapak tangan akan meresap ke dalam kulit dengan cepat.

    Madu asli tidak melekit.

  • Orang ramai yang berminat menyertai ekspedisi memungut madu lebah di Tasik Pedu dan Tasik Ulu Muda boleh menghubungi Fama Padang Terap di talian 04-7869878.