Sembunyi dadah dalam tandas



PAK SABAH – Demi meraih keuntungan, seorang pe-ngedar dadah tempatan sanggup berpura-pura menjadi ahli jemaah untuk bersolat di masjid sebelum menjadikan tandas di kawasan berdekatan sebagai lokasi transit sebelum mengedarkan bara-ngan larangan itu kepada pelanggannya yang kebanyakannya terdiri daripada penagih tegar warga tempatan.

Tindakan suspek pada awalnya dianggap jemaah datang untuk menunaikan solat Isyak pada waktu hujan lebat itu, bagaimanapun berjaya dihidu pihak berkuasa yang akhirnya bertindak menyerbu tempat persembunyian pemuda terbabit.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah menyerbu tandas di luar bangunan masjid itu kira-kira jam 9 malam.

Bagaimanapun suspek yang menyedari kehadiran pihak berkuasa dikatakan mencampakkan dadah yang dipercayai miliknya ke atas lantai di dalam tandas berkenaan.

“Hasil pemeriksaan kita menemui satu pakej dipercayai dadah jenis syabu, suspek bertindak menjadikan kawasan masjid sebagai lokasi aktiviti pengedaran berkemungkinan untuk mengelakkan daripada dihidu polis, namun tindakannya itu akhirnya membawa padah pada dirinya,

Dahlan berkata, dadah terbabit jika dipasarkan kepada penagih dianggarkan bernilai kira-kira RM250.

Suspek yang berusia 20an dan kali pertama ditahan itu dipercayai baru terjebak dengan kerjaya sebagai pengedar.

Difahamkan, sebahagian daripada jemaah yang baru selesai menunaikan solat Isyak di masjid itu terpinga-pinga melihat beberapa anggota polis berpakaian preman memberkas suspek yang dibawa keluar dari tandas terbabit.

“Suspek yang berasal dari Jalan Teratai itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dadah,” katanya.