KUALA TERENGGANU
– Tindakan seorang remaja wanita bawah umur yang ‘terlalu mudah’ mengikut lelaki membawa padah, apabila dia menjadi bahan ‘kenduri seks’ oleh enam lelaki dalam tempoh dua hari bermula, 11 November lalu.

Mangsa, pelajar berusia 14 tahun dari Kampung Gong Tok Nasek di sini, dikatakan telah mengikut teman lelaki serta beberapa orang tidak dikenali dalam tiga kejadian berasingan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kejadian pertama berlaku pada 11 November lalu ketika mangsa ke rumah kawannya di Marang untuk menukar baju.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun telah menghubungi teman lelakinya yang datang bersama dua kawan lain.

Katanya, dalam kejadian itu, lelaki terbabit telah menodai mangsa berkali-kali, manakala dua rakannya pula turut mengambil kesempatan mencabul kehormatan mangsa.

“Teman lelakinya telah menghantar mangsa ke Dataran Shahbandar pada keesokan harinya dan ketika sedang berseorangan, da-tang tiga lelaki tidak dikenali menjemputnya menaiki kereta,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurut Zamri, tanpa rasa insaf dengan kejadian pertama, mangsa mengikuti ketiga-tiga lelaki terbabit ke Kampung Tok Molor, di sini, dan menjadi mangsa rogol kali kedua akibat dikerjakan dua daripada tiga lelaki terbabit.

Katanya, walaupun telah berulang kali menjadi mangsa, remaja terbabit tanpa rasa bersalah masih mengikut lelaki lain yang tidak dikenalinya ke sebuah hotel berhadapan Pasar Besar Kedai Payang pada malamnya dan sekali lagi dia dinodai.

Bagaimanapun, Zamri berkata, mangsa yang ditemui kakaknya pada pagi esoknya telah membuat laporan polis.

“Polis kini sedang mengenal pasti kesemua suspek dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.