Ramai jemaah lelaki hadapi kemurungan



DOKTOR melayani jemaah haji yang kurang sihat di sebuah klinik yang disediakan di Maktab Penginapan Tabung Haji Janadriyah, Mekah, kelmarin.


MEKAH 5 Nov. - Kemurungan dan gangguan jiwa biasanya mudah dialami oleh kaum wanita tetapi di Mekah, lain pula halnya kerana ada kalanya banyak kes sedemikian dihadapi oleh jemaah haji lelaki.

Kes-kes itu berlaku setiap tahun dan kerana itu jugalah, Hospital Aziziah dan Hospital Sisya yang diuruskan oleh Tabung Haji di sini menyediakan doktor-doktor psiakitri bagi menangani pesakit berkaitan kejiwaan.

''Kita jangan pelik jika pada musim haji banyak jemaah yang menghadapi kemurungan dan gangguan jiwa terdiri daripada jemaah lelaki.

''Biasanya berpuluh-puluh kes kemurungan dan gangguan jiwa dirujuk ke hospital pada musim haji dan sebab itu kita memberi perhatian serius kepada kes-kes sedemikian," kata Pengarah Hospital Aziziah, Dr. Mat Noh Karim (gambar) kepada pasukan media Tabung Haji di sini, hari ini.

Berdasarkan pengalaman lalu, jelas beliau, sebahagian besar kes kemurungan dan gangguan jiwa biasanya dihadapi oleh sesetengah jemaah beberapa hari sebelum dan selepas mereka berwukuf.

Pesakit yang menghadapi kemurungan, jelas beliau, ada kaitan dengan kebimbangan dan tekanan perasaan yang dihadapi oleh jemaah selain terlalu letih terutama dalam menghadapi hari wukuf di Padang Arafah.

Bagi kes gangguan jiwa pula, katanya, ada juga yang sudah mengalami keadaan itu di tanah air dan kerana tidak mengambil ubat-ubatan seperti ditetapkan termasuk sebelum ke tanah suci, penyakit mereka datang semula.

''Ramai juga jemaah yang tidak mengalami penyakit itu sebelum datang ke sini tetapi apabila di tanah suci, jiwa mereka tiba-tiba terganggu. Ini biasa berlaku melibatkan jemaah lelaki," ujarnya yang sudah tujuh tahun berkhidmat di hospital tersebut.

Mengenai persediaan petugas perubatan menghadapi hari wukuf, Dr. Mat Noh memberitahu, pihaknya akan turut membantu pesakit yang terlantar di wad untuk mengerjakan rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah.

Ini kerana, kata beliau, jika rukun haji itu ditinggalkan maka sia-sialah kehadiran mereka di tanah suci apalagi bagi pesakit yang bersusah-payah menyimpan bertahun-tahun dalam Tabung Haji.

''Berdasarkan musim haji sebelumnya, antara 10 hingga 15 jemaah Malaysia yang sakit terpaksa dibantu oleh pegawai perubatan untuk berwukuf. Memandangkan pegawai perubatan terhad, kita akan menutup sementara hospital jika ramai pesakit yang perlu dibantu," katanya.

Selaku pengarah hospital itu, Dr. Mat Noh turut melaksanakan tugas rutin pada musim haji ini untuk melawat hospital-hospital di Mekah bagi mengesan jika ada jemaah Malaysia yang menerima rawatan di situ.

Pada musim haji tahun ini, seramai 40 pegawai perubatan disediakan selain empat doktor pakar bagi menguruskan sebanyak 26,000 jemaah haji Malaysia.

''Sebenarnya 40 pegawai perubatan itu memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing termasuk psikiatri dan sebagainya," tambah beliau lagi.

Selain Hospital Aziziah dan Sisya, Tabung Haji turut menyediakan kemudahan klinik di semua 10 maktab penginapannya termasuk wad kecemasan.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Perubatan Tabung Haji, Abdullah Talib berkata, sebanyak RM2 juta dibelanjakan untuk membeli ubat-ubatan sahaja bagi keperluan jemaah tahun ini.

Kata belian, sebanyak 18 buah ambulans disediakan di tiga lokasi iaitu di Mekah, Jeddah dan Madinah.

''Bagi ubat-ubatan seperti ubat batuk, ia hanya boleh dibeli di Arab Saudi dan tidak boleh dibawa dari Malaysia," katanya.