Membina generasi berkualiti

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN


buruh kanak-kanak antara isu yang masih membelenggu negara-negara dunia ketiga. - Gambar hiasan


HAK meluahkan pendapat merupakan hal asasi mutlak setiap manusia sejak lahir lagi. Ia tidak diperoleh atau diberikan pada satu peringkat usia.

Mengapakah hak bersuara ini penting? Setiap kanak-kanak yang digalakkan meluahkan pendapat belajar memikul tanggung jawab dan mampu membuat keputusan lebih bijak.

Lantaran itu adakah wajar ibu bapa menyuruh anak mereka senyap apabila mereka sepatutnya menggalakkan anak-anak bertanya soalan dan mengasah kemahiran berfikir.

Berfikir secara kritikal. Ini merupakan kualiti penting untuk membina generasi modal insan berkualiti, berdaya saing dan mampu menempuhi apa jua cabaran mendatang.

Mungkin masih ramai yang kurang atau enggan menerima hakikat bahawa anak mereka juga manusia biasa dan mempunyai hak sebagai warganegara aktif.

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) melancarkan kempen interaktif unik yang buat pertama kalinya diadakan sempena ulang tahun ke-20 Konvensyen Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child).

Kempen multimedia Tune In To Me (Alihkan Siaran Kepada Saya) anjuran Leo Burnett/Arc Worldwide itu bertujuan memberi penghormatan khasnya Artikel 12 CRC iaitu, hak setiap kanak-kanak untuk didengari.

Bintang televisyen kecil, R. Yuvaneshwaran, 9, Qystinna Halim, 6 dan Zoe Teoh, 5, menjadi ikon kempen. Wajah comel mereka memakai antena 'Alihkan Siaran Kepada Saya' boleh ditontoni menerusi semua saluran media sehingga 20 November.

"Merealisasikan hak semua kanak-kanak bukan sahaja bergantung kepada peranan kerajaan malah memerlukan gabungan besar-besaran antara semua pihak.

"Ini supaya idea paling inovatif boleh digembleng bersama tindakan komited berasaskan perkongsian visi, prinsip hal asasi, nilai-nilai murni dan perspektif," kata Yousouff Oomar, Wakil UNICEF ke Malaysia.

Lebih 10 pemilik jaringan media terbesar negara termasuk stesen televisyen, radio, Internet dan media cetak bergabung tenaga pada 20 November serta membuka saluran kepada kanak-kanak dan remaja bersuara.

Ini dilakukan menerusi program berita, segmen sukan, program kanak-kanak atau sekadar meluahkan pendapat masing-masing mengenai sebarang isu.

Penaja yang terlibat adalah AMP Radio Networks, Astro Awani, Astro TVIQ, BFM 89.9, Blu Inc, Catcha Digital, Citranet, ESPN Star Sports, Innity, Maxis Communications, Menara KL, Media Prima Radio & TV, Pudding Media, RTM Radio & TV, Red FM, 98.8 FM, The Star Publications, See Hua Daily (East Malaysia) dan TM Bluehyppo.

Yousouff berkata, sempena ulang tahun ke-20 ini, Unicef berhasrat memperhebatkan perjuangan demi kanak-kanak yang kadang-kala sukar membuatkan diri mereka didengari kerana jarang diberi peluang berbuat demikian.


Kanak-kanak merupakan penyambung generasi masa depan yang perlu dilindungi dan dipertahankan hak mereka. - Gambar hiasan


berhak bersuara

"Kanak-kanak berhak bersuara dan diberi perhatian oleh orang dewasa. Mereka berhak menyuarakan pendapat mengenai perkara yang membabitkan kanak-kanak.

"Malah pendapat mereka harus diambil serius dalam proses menggubal keputusan. Jika kanak-kanak tidak diberi ruang berbuat demikian, kita menafikan hak kelahiran mereka," tegas beliau.

Tambahnya lagi, golongan dewasa yang tidak mendengar dengan teliti atau menghormati pendapat dan perasaan anak-anak, telah gagal menjalankan tanggung jawab membantu mereka menuntut hak tersebut.

Hak untuk didengari dan melibatkan diri tidak seharusnya diasingkan daripada hak-hak mutlak seorang kanak-kanak. Jika anak itu diberikan penjagaan kesihatan terbaik tetapi haknya bersuara dinafikan - anak itu bukanlah kanak-kanak yang sihat.

Jika anak tidak pernah didera secara fizikal tetapi asyik disuruh diam atau tutup mulut, kanak-kanak itu tergolong sebagai mangsa penderaan.

"Sebagai orang dewasa kita sering membuat keputusan untuk kanak-kanak dengan mengambil kira apa yang terbaik untuk mereka.

"Namun kita sering terlupa bahawa anak mempunyai pandangan dan pendapat tersendiri serta hak agar diberi perhatian penuh," tambah Pengarah Jenama Global Leo Burnett, Terence Ooiyang menerajui kempen Alihkan Siaran Kepada Saya.

Turut dilancarkan baru-baru ini, laman web interaktif www.tuneintome.bluehyppo.com untuk tatapan golongan dewasa dan kanak-kanak ke arah mewujudkan dunia yang sepadan untuk kanak-kanak.

Sejak 20 tahun lalu iaitu tanggal 20 November 1989, jentera Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) mula digerakkan ke arah perubahan sosial, membina asas sebuah dunia yang menjamin dan melindungi hak semua kanak-kanak.

CRC mewakili pencapaian penting dalam usaha UN bagi mencapai dunia yang selamat dan sesuai untuk kanak-kanak.

Perjanjian undang-undang antarabangsa yang kukuh itu membahagikan hak kanak-kanak kepada 53 artikel dan dua Protokol Pilihan berasingan.

Ia bertujuan membangunkan perlindungan semaksimum daripada pengaruh berbahaya, penderaan dan eksploitasi serta terlibat sepenuhnya dalam keluarga, budaya dan sosial.

Empat teras prinsip CRC adalah anti-diskriminasi; demi kepentingan anak; hak ke atas kehidupan, kelangsungan hidup dan pembangunan; serta menghormati pandangan setiap anak.

Dalam waktu sama, CRC juga menegaskan tanggung jawab masyarakat termasuk ibu bapa, ahli keluarga, komuniti, golongan profesional, sektor awam dan swasta juga penyedia perkhidmatan untuk kanak-kanak.

Sama ada di mahkamah, semua peringkat pentadbiran kerajaan perlu memainkan peranan dan fungsi unik demi kanak-kanak sejagat.

Di Malaysia, Akta Kanak-Kanak 2001 telah diperkenalkan berikutan ratifikasi kerajaan terhadap CRC pada 1995.

CRC juga membantu mengurangkan jumlah kematian kanak-kanak sebelum mencapai usia 5 tahun, mempercepatkan pendidikan anak-anak perempuan juga mempromosikan pendidikan tahap rendah secara 'percuma'.

Langkah ini meletakkan negara di platform sama dengan kebanyakan negara industri yang mengiktiraf hak kanak-kanak.

Walaupun kejayaan telah dikecapi dari lain-lain segi tetapi banyak lagi perlu dilakukan untuk memastikan tidak ada anak yang ketinggalan daripada menuntut hak ini.

Sambutan ulang tahun CRC memberi setiap individu peluang untuk menunjukkan komitmen kepada kanak-kanak tanpa mengira siapa mereka atau dari mana asal mereka.

Kunjungi laman web Unicef http://www.unicef.org/malaysia/index.html bulan ini untuk mendapatkan maklumat lanjut.