Mayat mangsa lemas tersangkut jaring pukat



KUALA TERENGGANU – :Seorang kanak-kanak berumur 4 tahun, Mohd Junaidi Mat Ghani, yang hilang sejak petang kelmarin, akhirnya ditemui tersangkut dalam keadaan terapung pada jaring pukat yang dipasang orang ramai di sungai berdekatan rumahnya di Kampung Titian Baru, di sini, kira-kira jam 8.40 pagi semalam.

Bapa mangsa, Mat Ghani Mamat, 46, ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam, tenang menerima berita kematian anaknya dan tetap bersyukur kerana mayat mangsa ditemui walaupun sudah tidak bernyawa.

Menurutnya, usaha mencari dan menyelamat mangsa dilakukan kira-kira jam 8.30 malam kelmarin dan orang ramai terpaksa memasang jaring kira-kira jam 1 pagi bagi menghalang mangsa daripada hanyut setelah anaknya masih gagal ditemui.

“Sebelum ini, dia tidak pernah ke sungai berkenaan dan memang sudah ajal, dia meninggal di sungai itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang kelmarin, mangsa yang juga anak kelapan daripada sembilan adik-beradik beria-ia mengikut abangnya, Mohd Farid, 11, ke sungai berdekatan, kira-kira satu meter dari rumahnya.

Bagaimanapun, kehilangan mangsa tidak disedari Mohd Farid yang asyik bermain bersama rakannya, malah mengesyaki adiknya pulang ke rumah sendirian.

“Kehilangan mangsa disedari waktu maghrib selepas abangnya pulang kira-kira jam 6.30 petang.

“Masa itu saya baru sedar seorang anak tiada dan saya tanya Mohd Farid tetapi dia pun terpinga-pinga,” katanya.

Mat Ghani akhirnya mengesyaki anaknya lemas, lalu membuat laporan di Balai Polis Chendering kira-kira jam 8 malam dan usaha mencari serta menyelamat dijalankan setengah jam selepas itu sehinggalah ditemui, pagi semalam.

Pengurus Semerah Padi Perabot itu berkata, dia masih terngiang-ngiang suara anaknya yang tidak mahu ke Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) ‘sampai bila-bila’ jika lambat mengambilnya pulang dari pusat asuhan berkenaan.

Menurutnya, kata-kata anaknya itu tidak sedikit pun meninggalkan kesan, apatah lagi menganggap bahawa ajal mangsa sudah tiba.

“Pagi sebelum kejadian, dia ada kata tidak mahu ke sekolah ‘sampai bila-bila’ jika ibunya lambat mengambilnya dari Pasti berdekatan.

“Bagaimanapun, memang sudah tersurat ajal dia,” katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan selepas waktu zohor di Perkuburan Islam Kampung Atas Tol, di sini, semalam.