Hajat perkenal bakal isteri tak kesampaian

Oleh ZAMZURINA AHMAD


Nahas di Aidiladha


KUANTAN 27 Nov. – Hajat seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk memperkenalkan bakal isteri kepada ibunya sempena cuti Hari Raya Aidiladha ini tidak kesampaian apabila wanita itu terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 39, Jalan Kuantan-Kemaman di Cherating dekat sini hari ini.

Namun anggota tersebut, Laskar Udara Saiful Zazeeleen Che Yusof, 23, bernasib baik apabila terselamat dalam kemalangan ngeri kira-kira pukul 6.45 pagi.

Turut terkorban bersama mangsa, Nursurwani Jamil, 21, ialah rakannya, Marlizatul Akmar Mohamad, 23, yang kedua-duanya merupakan pelajar kejururawatan, Kolej Masterskill di ibu negara dan Laskar Udara Mohd. Nasir Abdul Hager, 28.

Marlizatul adalah tunang kepada Mohd. Nasir. Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komissioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, Saiful dikejarkan ke Hospital Kemaman, Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, akibat kecederaan parah di kepala.

“Ketiga-tiga mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

“Kejadian berlaku apabila kereta dipandu Mohd. Nasir itu cuba mengelak sebuah kereta yang keluar dari simpang stesen minyak berkenaan secara tiba-tiba,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mohd. Jasmani, kereta itu kemudian memasuki laluan bertentangan menyebabkan ia bertembung dengan sebuah lori.

“Pemandu lori berkenaan bagaimanapun terselamat dan dibebaskan setelah memberi keterangan di balai polis berhampiran.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Sementara itu, menurut ibu Saiful, Haniza Ismail, 42, yang ditemui di pekarangan bilik mayat HTAA di sini berkata, anaknya memaklumkan kepadanya untuk pulang beraya bersama rakan di kampung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar malam tadi.

“Saya dapat merasakan kemungkinan rakan yang dimaksudkan itu adalah Nursurwani yang turut terkorban dalam kemalangan tersebut.

“Mungkin Nursurwani adalah bakal menantu yang ingin diperkenalkan kepada saya. Bagaimanapun hasrat anak saya itu tidak kesampaian,” ujarnya.