Bersabar demi anak-anak


DUA minggu lepas, saya ada terbaca luahan seorang suri rumah bernama Cahaya. Saya sendiri kagum dengan ketabahan Cahaya menanggung malu kerana suami seorang kaki ganja.

Namun, ini merupakan cebisan kisah daripada jutaan permasalahan yang dihadapi oleh wanita masa kini.

Namun sebagai seorang Islam, kita perlu reda. Jangan cepat berputus asa. Rakan saya sendiri sering mengadu tentang permasalahan keluarganya. Katanya, sebelum berkahwin suaminya seorang kekasih yang romantik, baik dan tidak pernah meninggalkan solat. Sebaliknya, selepas perkahwinan, suaminya seorang yang pemarah. Pantang ada salah sikit, suaminya pasti menengking dan memarahinya. Namun, dia hanya bersabar. Tidak mahu melatah atau mengadu dengan keluarga. Setiap hari dia memohon dengan Allah, agar suaminya berubah. Saya kagum dengan teman saya ini. Sembahyang hajat dan puasa sunat tidak pernah tinggal. Mungkin dia benar-benar ingin suaminya berubah. Demi anak-anak katanya, dia perlu bersabar. Kebetulan cinta ini, pilihan hatinya sendiri.

Suatu hari, suaminya tiba-tiba berubah. Sentiasa bertanya khabar tentang dirinya. Mungkinkah doanya selama ini termakbul?

Alhamdulillah, suaminya benar-benar berubah. Berkat kesabarannya, suaminya menjadi sangat penyayang dan sering mengambil berat.

Pengajarannya, sebagai isteri kita perlu memberi sokongan kepada suami. Beri dia peluang. Berbincang mungkin jalan yang terbaik. Dalam kes Cahaya, mungkin puan boleh bertanya kepada suami, adakah dia masih ingin bersama atau berpisah? Sekiranya masing-masing sudah bersetuju untuk berpisah, mungkin itulah yang terbaik.

Sebaliknya, jika suami puan masih memerlukan sokongan puan. Mungkin puan boleh mencontohi teman saya tadi. Tidak pernah putus memohon doa daripada Allah. Hakikatnya, sebagai hamba Allah, kita hanya merancang Tuhan menentukan segalanya.

Saya doakan puan dan wanita lain yang senasib dengan puan diberi kekuatan. Kesabaran adalah kunci kekuatan. Anak-anak pula penawar duka wanita. Salam bahagia buat Cahaya.

* Ratu, Kuala Terengganu, Terengganu.

Di dunia ini lebih mudah berbuat kebaikan daripada kejahatan. Tetapi manusia lebih condong berbuat kejahatan daripada kebaikan. Hal ini disebabkan nafsu lebih tua daripada akal. Iblis lebih tua umurnya daripada manusia. Sedangkan manusia dikepung dari empat penjuru iaitu kiri hawa, kanan nafsu, muka dunia dan belakang syaitan.