Awas banjir kedua

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Penduduk di negeri-negeri di pantai timur Semenanjung terutama Kelantan dan Terengganu diminta berjaga-jaga kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir ekoran amaran hujan peringkat merah yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini.

Amaran itu dikeluarkan ekoran ramalan hujan dijangka berterusan sehingga minggu depan yang berkemungkinan paras air di kebanyakan sungai utama di kedua-dua negeri itu terus meningkat dan memburukkan lagi keadaan banjir yang telah pun melanda.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, amaran hujan peringkat merah merupakan hujan monsun yang lebat dan meluas berlaku atau dijangka berlaku dalam masa beberapa jam.

''Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah dan berada berdekatan tebing-tebing sungai,'' kata kenyataan itu.

Selain itu, di Pahang, Perak, Kedah dan Perlis, amaran hujan lebat peringkat kuning telah dikeluarkan di mana berlakunya luruan monsun dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Menurut kenyataan itu lagi, amaran peringkat kuning akan menyebabkan berlakunya hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat yang turun dari semasa ke semasa melibatkan beberapa daerah di Pahang, Perak, Kedah dan seluruh Perlis.

Bagi Pahang, ia melibatkan daerah Jerantut, Kuantan, Pekan, Maran dan Rompin dan dijangka berterusan sehingga Selasa depan.

Di Perak pula, ia melibatkan daerah Hulu Perak, Larut dan Matang, manakala di Kedah ialah daerah Sik, Baling, Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar dan Pendang dan Perlis dijangka berterusan sehingga Rabu depan.

''Keadaan tersebut juga boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berdekatan tebing sungai," katanya.

Tambah kenyataan itu, semasa tempoh hujan lebat, orang awam diminta untuk lebih berhati-hati dan mengikut arahan pihak berkuasa serta mematuhi arahan berpindah jika banjir berlaku di kawasan mereka atau jika keadaan memerlukan.

Dalam pada itu, amaran angin kencang dan laut bergelora juga dipertingkatkan ke kategori kedua untuk angin kencang timur laut di perairan Condore di Laut China Selatan dengan kelajuan 50-60 kilometer sejam dan ombak setinggi 4.5 meter dijangka berlaku sehingga esok.

Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Angin kencang sehingga mencapai kelajuan 40-50km sejam dengan keadaan ombak setinggi 3.5 meter pula berlaku di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Reef North, Layang-Layang, Palawan dan Kudat di utara Sabah juga dijangka berterusan sehingga esok.

Keadaan ini turut berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Ribut petir yang berlaku di perairan Langkawi, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah (Kudat dan Sandakan) dan Laut Sulu dijangka berterusan sehingga tengah hari ini menyebabkan ombak setinggi 2.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

Selain itu, kawasan pantai di pantai timur Semenanjung (Kelantan, Terengganu dan Pahang) terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga Selasa depan.