3 pelajar perempuan diperalat

Oleh Mohd Jamilul Anbia md Denin

anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Polis kini sedang menyiasat dakwaan wujud sindiket pemalsuan kad kredit antarabangsa yang dikesan mempergunakan pelajar perempuan Malaysia sebagai alat atau pengantara bagi melakukan penipuan.

Difahamkan, sindiket kad kredit palsu berkenaan yang berpangkalan di India dikesan menawarkan kadar upah setinggi RM500 kepada pengantara berjaya melakukan pembelian tidak sah di pusat beli-belah terkemuka.

Sumber polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJN) Bukit Aman, berkata pihaknya sudah dimaklumkan berhubung aktiviti tiga pelajar perempuan Malaysia yang kini menuntut dalam jurusan kecantikan dan kosmetik di Chennai, India.

Menurutnya, tiga pelajar perempuan terbabit diperalatkan sindiket pemalsuan kad kredit didalangi lelaki Sri Lanka untuk membeli barangan mahal di bandar raya ini.

“Kegiatan jenayah mereka itu terbongkar selepas polis Chennai menangkap lelaki berusia 25 tahun itu yang kini menjadi warga Kanada, Jumaat lalu.

“Ketiga-tiga pelajar perempuan itu diperalatkan ketua sindiket berkenaan bagi membeli barang kemas dan telefon bimbit bernilai hampir 50 lakhs (RM500,000). Bagi setiap pembelian, pelajar terbabit diupah kira-kira 5,000 rupee (RM500),” katanya.

Difahamkan, pihak polis negara itu sedang mengenal pasti nama dan identiti semua pelajar Malaysia berkenaan yang dipercayai sudah pulang ke tanah air sejak beberapa bulan lalu.

“Polis India kini turut mendapatkan bantuan Interpol untuk menyiasat jenayah berkenaan sama ada semua pelajar Malaysia terbabit diperdaya atau sebaliknya menyedari jenayah dilakukan.

“Difahamkan suspek bernama Umesh mengenali seorang daripada tiga pelajar berkenaan di sebuah pub sebelum pelajar terbabit turut membawa bersama dua rakan lain,” katanya.

Hasil perkenalan singkat itu, suspek mengarahkan tiga pelajar terbabit melakukan penipuan menggunakan kad kredit palsu manakala suspek hanya menunggu di dalam kereta sambil memberi arahan menggunakan alat telekomunikasi yang dipasang pada pelajar berkenaan.

Suspek turut dikesan memasang kamera kecil pada beg tangan pelajar berkenaan ketika melakukan kegiatan penipuan bagi memudahkannya memberi arahan terhadap jenis barangan yang patut dibeli.

“Bagaimanapun suspek yang disoal siasat polis mendakwa tiga pelajar berkenaan sudah pulang ke Malaysia sebulan lalu, sejurus menamatkan pengajiannya di India,” katanya.