Zakat menyuntik semangat

Oleh Hamizul Abdul Hamid dan Ima Syuhada Ismail


bantuan perniagaan yang diperoleh daripada LZS akhirnya merealisasikan cita-cita Daing Nur Rashid Shah Abdul Razak bergelar usahawan.


DARI kejauhan dia kelihatan sibuk sekali. Keringat meleleh membasahi wajahnya. Baju berwarna biru yang tersarung di tubuhnya nampak makin lencun. Namun dia tetap setia melayani permintaan pelanggan-pelanggan di tengah hari yang membahang.

Di sisinya, seorang wanita sedia membantu. Mereka pantas sekali menyediakan pesanan. Itulah dia,Daing Nur Rashid Shah Abdul Razak, 36 dan isterinya, Roslini Yahaya, 35.

Jejak Asnaf kali ini akan membawa kisah seorang bapa yang bangkit dengan bantuan wang zakat. Kisah bagaimana dalam menongkah arus kehidupan, ada manusia yang terpaksa berpapah demi kelangsungan hidup.

Bukan kerana mereka malas berusaha, atau suka menempatkan diri di zon selesa. Bahkan mereka sudah berusaha namun mungkin rezeki masih belum sampai. Maka, mereka memerlukan bantuan demi mencapai apa yang dicita-citakan.

Bagi Daing, apa yang menjadi keistimewaannya ialah, beliau bukan menjual nasi ayam biasa tetapi Nasi Ayam Madu Salai Berempah.

Melihatkan ayam-ayam yang dipanggang, seseorang sudah boleh menilai keenakan rasanya. Jika perut dicerut lapar, pasti kecur liur dibuatnya.

"Saya sudah lebih tujuh tahun menjalankan perniagaan ini. Menu masakan ini, abang angkat saya yang beri. Saya meletakkan harga tidak mahal, sepinggan tidak lebih RM4.

"Kawasan perniagaan kami meliputi Shah Alam dan Petaling Jaya." Begitulah Daing berkongsi cerita. Sesekali kelihatan dia agak keletihan juga.

"Saya dan isteri asal-asal dulunya berniaga dengan kereta buruk sahaja, pemberian orang tua. Itulah nadi kami, di mana ada pasar malam, adalah muka kami mencari rezeki. Maklumlah, anak-anak siapa yang nak besarkan," tambah beliau.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Syafiqah, 15; Nur Shahril Ashraf, 14; Nur Syafiqah Aqilah, 9, dan Nur Shamimi, anak bongsu.

Hakikatnya, Daing bukanlah jenis manusia yang suka berpeluk tubuh. Melihat kepada sosok tubuhnya sahaja dan gaya bicaranya, sudah mempamerkan wataknya yang sanggup melakukan apa-apa sahaja pekerjaan demi mencari rezeki yang halal.

Menurutnya lagi, pengalaman yang tidak mungkin dilupakan ialah, dia terpaksa membawa anak dan isterinya ke mana sahaja untuk berniaga. Hinggalah pada suatu hari di bulan Ramadan beberapa tahun yang lalu, salah seorang anaknya yang leka bermain bunga api pada petang Ramadan disambar api. Saat itu, dia dan isteri sedang sibuk melayan pelanggan.

"Berderau darah saya kala itu. Bayangkan, api sudah menyambar tubuh anak kedua saya yang kala itu berusia lapan tahun. Akibatnya, berbulan jugalah dia dirawat di hospital," katanya.

Selepas dari itulah, Daing enggan membenarkan isterinya membantunya lagi. Bahkan isterinya seperti sudah patah semangat untuk meneruskan perniagaan.

Maklumlah, kejadian berlaku dek kerana mereka asyik berniaga. Mereka hakikatnya sudah dilanda trauma.

Namun adat orang berniaga, sama seperti seekor harimau. Ada masanya keluar pagi dan pulang petang dengan rezeki besar; ada kalanya keluar dan pulang dengan tangan yang kosong. Untung dan rugi silih berganti. Sementara itu, anak-anak makin membesar. Keperluan pula semakin banyak perlu disediakan.

Maka, selalu juga Daing keputusan belanja bahkan untuk memodalkan perniagaannya pun, dia tidak berduit lagi.

"Sering juga saya terpaksa menebalkan muka meminta bantuan rakan-rakan dan sahabat serta saudara-mara. Mana yang mampu dan sudi membantu, saya terima penuh kesyukuran.

Memang kala itu, kita amat-amat memerlukan bantuan. Malu pun berkurang dengan sendiri; apatah lagi bila wajah anak-anak mula terbayang-bayang di ruangan mata," jelasnya.

Bagaikan satu rantaian, perniagaan Daing yang kurang menjadi menimbulkan bebanan lain pula. Akibatnya, bayaran ansuran rumah mulai tertunggak, bil elektrik dan air juga makin menebal. Kala itulah, salah seorang rakan mencadangkan beliau menemui Lembaga Zakat Selangor (LZS) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Di LZS (MAIS), kesusahan Daing sekeluarga mendapat perhatian. Inilah hikmah zakat, membela nasib sesama umat tanpa mengira batas dan darjat.

Tepat sebagaimana saranan Rasulullah SAW, bahawa sesungguhnya umat Islam yang bersaudara itu seumpama satu badan, maka dengan wang zakat yang disalurkan oleh umat Islam itulah, LZS (MAIS) mampu kembali menyantuni sesama umat sebagaimana selayaknya yang dituntut oleh syariat.

Kini, Daing sudah mampu tersenyum dengan pelbagai jenis bantuan yang disalurkan oleh LZS (MAIS). Bantuan perumahan, bantuan raya, bantuan pendidikan dan bantuan perniagaan telah disalurkan oleh LZS (MAIS) dengan jumlah ribuan ringgit.

"Alhamdulillah, saya telah dimasukkan sebagai salah seorang perintis di dalam Program Usahawan Mobil Asnaf. Saya juga diberikan sebuah lori dan juga kelengkapan perniagaan yang lain.

"Saya yakin, masa hadapan yang lebih gemilang sedang menanti saya di hadapan. Insya-Allah, rezeki Allah SWT memang luas dan suatu masa nanti, nasib saya pastinya berubah…amin," katanya yakin.

Nota: Sesiapa yang berminat untuk menempah nasi ayam rempah bermadu, sila hubungi Daing di talian 013-2904171.