Suri rumah ditahan kerana mengedar dadah


MARAN: Seorang suri rumah merupakan antara yang ditahan kerana dipercayai mengedar dadah dalam beberapa serbuan di gugusan Felda Jengka di sini pada Sabtu dan Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Ahmad Johari Shahabudin berkata wanita berusia 35 tahun dari Felda Jengka 16 itu ditahan di rumahnya bersama 200 paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan dipercayai dadah jenis Heroin dianggarkan seberat 400 gram yang disorok di belakang almari bilik tidurnya.

Beliau berkata ibu kepada lima anak itu ditahan dalam serbuan diketuai Cif Inspektor Azli Mohd Noor pada 11.30 pagi, Selasa lepas.

"Polis percaya wanita ini aktif mengedar dadah sejak dua hingga tiga bulan yang lalu di kawasan Felda Jengka," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya suami wanita berkenaan berusia 40an yang tiada di rumah ketika serbuan turut ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan.

Beliau berkata polis juga menahan seorang lelaki berusia 33 tahun bersama 100 paket dadah dipercayai Heroin dianggarkan seberat 200 gram dalam serbuan pada 3.15 petang, Sabtu lepas di hadapan sebuah rumah di Felda Jengka 10.

Ahmad Johari berkata lelaki tersebut yang berada di dalam sebuah kereta cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditangkap setelah berlaku sedikit pergelutan.

Susulan penahanan itu, katanya polis menangkap dua lagi lelaki berusia 20 dan 24 tahun, berasal dari Pelabuhan Klang serta merampas 150 paket dadah jenis Heroin dianggarkan seberat 300 gram, dua telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,500 pada 11 pagi, Selasa lepas.

Katanya kesemua dadah yang dianggarkan bernilai RM67,500 itu dipercayai diperolehi dari negeri jiran untuk dibekalkan kepada penagihpenagih di daerah Maran.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pahang Supt Yap Toon Khuan berkata sebanyak 628 kes dan 662 tangkapan berkaitan dadah dilaporkan dari Januari sehingga kini di daerah Maran.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 49 kes dan 52 tangkapan adalah melibatkan kes berkaitan bekalan yang disiasat mengikut Seksyen 39b, 39A (2) dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya. BERNAMA