Sarapan pagi demi pesakit strok

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN


Dr. Aishah Ong menjamu Chef Wan selepas pelancaran Sarapan Pagi Terbesar Malaysia di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


PADA 30 dan 31 Oktober ini, semua rakyat Malaysia dari Pulau Pinang ke Johor Bahru, Kuantan ke Kota Kinabalu bakal bakal menikmati Malaysia's Biggest Breakfast (Sarapan Pagi Terbesar Malaysia) sama ada di rumah, sekolah dan pejabat masing-masing.

Ya., anda juga boleh menjadi sebahagian daripada program julung-julung kali diadakan bagi mengutip sebanyak mungkin derma bagi disalurkan kepada kebajikan, pemulihan dan rawatan kepada pesakit strok menerusi Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (NASAM).

Hanya dalam satu hari (atau lebih jika mahu), setiap rakyat berpeluang membantu pesakit strok yang menderita akibat kesan serangan angin ahmar.

Menerusi program tajaan Nestle (Malaysia) Berhad itu, anda boleh mengadakan majlis bersarapan di rumah, pejabat atau sekolah dan menjemput ahli keluarga, jiran, rakan-rakan sekolah.

Hanya tempatkan kotak derma di lokasi majlis tersebut bagi membolehkan setiap tetamu menghulurkan derma kepada dana NASAM.

Chef Selebriti, Chef Wan yang akan turut sama menganjurkan majlis tersebut memberitahu, beliau akan membuat hidangan Maghribi khusus untuk rakan-rakan dan keluarga terdekat.

"Saya akan menghubungi kenalan rapat serta orang kenamaan dan memasak sarapan pagi untuk ahli keluarga mereka. Ini saya lakukan asalkan mereka semua sanggup menderma," katanya.

Selain Chef Wan, individu dan organisasi yang bersedia menganjurkan Sarapan Pagi Terbesar Malaysia ialah Penaung NASAM, Datuk Seri Dr. Aishah Ong, Nestle, McCann Erickson (Malaysia) Sdn. Bhd., UBS Securities Malaysia Sdn. Bhd., Basil (Thai) Restaurant), The Truly Loving Company Sdn. Bhd. dan Hakka Republic Restaurant.

Menurut Dr. Aishah yang juga isteri bekas pengasas parti MCA, ketika dilantik sebagai penaung persatuan itu awal tahun ini, beliau amat berbangga dan tersentuh kerana suaminya, Tun Omar Ong Yoke Lin juga merupakan pesakit strok yang sedang melalui tempoh pemulihan.

Katanya, meskipun angin ahmar adalah penyebab utama kecacatan fizikal di Malaysia namun tidak banyak tempat yang boleh dituju pesakit untuk mendapatkan terapi pemulihan.

Justeru, pihaknya akan merealisasikan rancangan untuk menubuhkan Pusat NASAM di setiap negeri. Pada masa ini NASAM mempunyai cawangan di Pulau Pinang, Ipoh, Petaling Jaya, Ampang, Melaka, Johor Bahru, Kuantan dan Kota Kinabalu.

"NASAM berjaya melibatkan pesakit strok dalam aktiviti-aktiviti yang memerlukan keberanian terutama bagi mereka untuk belajar berjalan semula.

"Inilah kekuatan NASAM - bukan sahaja menyediakan perkhidmatan terapi tetapi menggalakkan kesejahteraan fizikal, mental dan emosi setiap pesakit strok di bawah jagaannya," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai bagaimana untuk menganjurkan Sarapan Pagi Terbesar Malaysia sila hubungi ibu pejabat NASAM Petaling Jaya di talian 03-79564840 atau layari nasampj@nasam.org