SHAH ALAM: Ketua ajaran sesat "Rasul Melayu", Abdul Kahar Ahmad hari ini meminta para pengikutnya yang terpengaruh dengan ajarannya yang salah daripada segi agama supaya insaf dan bertaubat serta melupakan ajarannya itu secara mutlak.

Abdul Kahar berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dibacakan oleh seorang daripada peguam yang mewakilinya Zulkifli Che Yong di Mahkamah Tinggi Syariah di sini sebelum beliau membentangkan hujah mitigasi anak guamnya yang mengaku salah ke atas lima pertuduhan pindaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 pada 24 Sept lepas.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 8 (a), 7 (1), 12 (c), 10 (b) dan 13 (1) enakmen itu memperuntukkan hukuman denda RM21,000 dan penjara maksimum 13 tahun serta sebatan.

Antara pertuduhan itu ialah Abdul Kahar telah mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul orang Melayu sedangkan pengisytiharan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam kenyataan yang ditandatangani tertuduh sebelum prosiding di mahkamah hari ini bermula, Zulkifli berkata Abdul Kahar juga mmenegaskan dia tidak akan menarik balik pengakuan bersalahnya ke atas lima pertuduhan itu.

Dalam kenyataan itu, Abdul Kahar juga mengakui kesalahannya dan insaf serta telah bertaubat dan berharap taubatnya itu diterima Allah.

Dia juga memohon maaf kepada semua orang Islam, pihakpihak berkuasa terutama Jabatan Agama Islam Selangor, pihak polis dan pihak penjara di atas kesilapan yang dilakukannya yang telah mencetuskan provokasi, keliruan dan fitnah terhadap agama Islam.

Sementara itu, Zulkifli ketika memohon hukuman ringan bagi anak guamnya itu di hadapan Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad meminta anak guamnya dikecualikan daripada hukuman penjara dan sebat kerana Abdul Kahar kini berumur 59 tahun dan mempunyai masalah kesihatan iaitu asma dan lemah jantung.

"Seksyen 97 dan Seksyen 129, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 menyebut kesihatan pesalah sebagai salah satu daripada perkara yang harus dipertimbangkan oleh Mahkamah apabila memutuskan sama ada melepaskan pesalah atas bon kelakuan baik yang terdapat dalam seksyen seksyen itu," katanya.

Bagi hukuman sebat pula, Zulkifli berhujah mengikut Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah, hukuman sebat tidak boleh dikenakan kepada orang yang tidak siuman, wanita dan lelaki berusia lebih 50 tahun kecuali di dalam kes rogol.

Selain daripada itu, Zulkifli berkata kesalahan anak guamnya adalah kesalahan kali pertama dan pengakuan bersalah tertuduh patut diambil kira oleh mahkamah dalam menjatuhkan hukuman kerana ia menjimatkan masa dan kos mahkamah serta saksisaksi.

"Dalam kes ini kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh bukanlah melibatkan seluruh masyarakat tetapi sebahagian sahaja, yakni sekitar 100 orang yang jadi pengikutnya.

Angka itu adalah pada tahun 2005 tetapi sekarang telah berkurangan atau tiada langsung.

"Jadi kesan kesalahan itu kepada masyarakat bukanlah besar. Nisbah 100 orang berbanding 21 juta rakyat Malaysia ialah 0.000005 peratus."

Beliau berkata walaupun ajaran anak guamnya itu disampaikan kepada orang lain tetapi para pengikutnya adalah orang dewasa, waras, boleh berfikir dan bertindak sendiri.

"Pengikut-pengikut tertuduh mempunyai pilihan dan boleh membuat pertimbangan sendiri. Pilihan pengikutpengikut ajaran tertuduh untuk mengikut ajaran itu bukanlah kesalahan tertuduh. Jadi tidaklah wajar ia diletakkan atau dibebankan ke atas tertuduh," hujahnya.

Sementara itu, Pendakwa Syarie Selangor Zusyarafain Md Yusuf memohon supaya seorang daripada penjamin Abdul Kahar, Norchahaya Abdul Ghani, 48, dikenakan tindakan di bawah Seksyen 210 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 bagi menghina mahkamah apabila gagal memastikan Abdul Kahar hadir semasa perbicaraan.

Selain itu, katanya Norchahaya sendiri tidak hadir ke mahkamah apabila Abdul Kahar tidak hadir ke mahkamah.

Abdul Kahar yang merupakan bekas pekerja Zoo Negara, pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 17 Ogos 2005 dan dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dan sepatutnya dibicarakan pada 21 September 2005 tetapi beliau beberapa kali gagal hadir untuk dibicarakan pada tarihtarikh yang ditetapkan sehingga waran tangkap dikeluarkan.

Bagaimanapun, pada 16 Sept lepas Abdul Kahar ditahan oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor pada pukul 9.45 pagi di tempat persembunyian barunya di Sg Long, Kajang sebelum di bawa ke mahkamah untuk mendapat perintah tahanan ke atasnya.

Hakim Abu Zaky bagaimanapun berkata perkara itu akan disentuh selepas hujah mitigasi selesai dan menangguhkan prosiding ke 7 Okt ini.

Selain daripada Zusyarafain, barisan pendakwaan di wakili oleh Abdul Shukor Abdul Hamid dan Muhamad Nazri Basrawi manakala Zulkifli dibantu Azmi Rais.BERNAMA