Janji sebelum berpoligami


BULAN Ramadan lalu saya mengikuti banyak cerita poligami dalam ruangan DCCK ini, tetapi saya tidak berkesempatan untuk menjawabnya, kerana terlalu tertekan dengan masalah yang dihadapi.

‘‘Cuba pembaca fikirkan sudahlah kita diceraikan setelah suami berkahwin lagi, kami anak beranak tidak mendapat nafkah secukupnya. Masa nak kahwin dulu berjanji nak bagi nafkah, tetapi dah kahwin saya diberikannya talak dan ditinggalkan dengan empat orang anak yang masih kecil dan sedang bersekolah!

‘‘Dulu hidup kami anak beranak terseksa kerana saya tidak bekerja. Dulu saya kerja kerani di sebuah syarikat Cina, tetapi disuruh berhenti kerana anak dah ramai. Kata suami saya ketika itu daripada berikan orang duit setiap bulan, lebih baik jaga anak sendiri. Dengan jujur dan penuh percaya kata-katanya saya pun berhenti kerja.

‘‘Bila dah tak bekerja, tentulah sumber kewangan semakin sempit, simpanan yang ada semakin tekis, barang kemas banyak dah luncun di pajak akhirnya suami pulak buat hal bercinta dengan perempuan lain, saya sungguh tak sangka ini akhirnya hidup saya.’’

Demikian cerita Norlina ketika kami berbual di telefon selepas menerima emelnya kepada penulis yang dihantar melalui jirannya.

‘‘Sudah empat tahun saya diceraikan, bab turun naik mahkamah melalui Biro guaman tak boleh cakaplah. Tapi memanjang bekas suami saya Hazri tak pernah datang. Kes bertangguh dah naik meluat nak ke mahkamah. Kini kes tak tahu jadi apa.

‘‘Bila anak-anak jumpa minta duit dapatlah lima puluh ringgit. Mana nak cukup. Kerana kesiankan anak-anak dapat makan sehari sekali, maka saya terpaksa bekerja di supermarket. Bila Hazri tahu saya dah bekerja dia langsung tak ambil tahu pasal anak-anak, sebab dia tahu saya tak akan buat tuntutan lagi sebab susah dapat cuti. Berdendang sayanglah dia melepaskan tanggungjawabnya kepada saya.

‘‘Apa yang mengeciwakan saya orang lelaki terlalu menyokong kaumnya kalau berpoligami, tetapi pernahkah mereka menasihatkan kaumnya itu supaya tidak lupakan tanggungjawabnya memberi makan anak-anak. Menceraikan isteri bukan bererti bercerai terus dengan anak-anak, sebaliknya mereka adalah darah dagingnya yang mesti diuruskan dengan baik, supaya dapat bersekolah dan menjadi manusia berguna.

‘‘Saya masih ingat bagaimana saya dipujuk supaya dia boleh berpoligami. Si perempuan itupun sama, konon sanggup berkorban untuk membantu Hazri kalau dia susah. Konon Hazri selalu meminjam duitnya untuk membesarkan anak-anak.

‘‘Tetapi apa yang jadi setelah setahun berkahwin, Hazri dihasut supaya menceraikan saya, bukan setakat anak-anak ditinggalkan, malah tidak diberi nafkah langsung. Bila anak-anak cuba menghubungi ayahnya, isterinya yang menjawab dengan marah-marah tidak benarkan menghubungi ayahnya lagi. Apa dah jadi?

‘‘Kerana keadaan terlalu terdesak, anak-anak tak bersekolah kerana tak bayar tambang bas sekolah dan tak ada duit saku untuk belaja ke sekolah, saya panjat pejabat Hazri hendak merayu meminta duit nafkah seperti yang dijanjikan dulu. Tetapi pengawal tak beri saya naik kata mereka hal rumah tangga selesaikan kat rumah. Nak selesai macam mana kami tak duduk satu rumah lagi!

‘‘Saya telefon kawan-kawannya yang saya kenal merayu supaya nasihatkan Hazri tapi mereka tak berani sebab pernah ditengkeng kerana dituduh campur urusan peribadinya.

Tergadai

‘‘Berbulan juga lamanya saya hidup susah, duit simpanan habis, barang kemas pun habis tergadai. Nasib baik juga ada jiran yang meminta saya membantunya ambil upah jahit sembat baju, dapatlah sikit duit, itulah saya buat belanja beli beras.

‘‘Untung juga tuan rumah tak halau keluar sebab saya banyak berhutang sewa, tetapi disuruh pindah ke rumah satu bilik belakang rumahnya. Bila hidup semakin terdesak dan tak ada jalan lain, akhirnya saya minta bantuan emak dan adik beradik.

‘‘Namun bukan semua adik beradik faham masalah kita, yang dah berkahwin bersimpati tapi dia pun susah, yang belum kahwin adalah seorang yang sedia membantu, yang dua lagi, pandang pun tak mahu. Alasan mereka, hidup mereka pun susah.

‘‘Adik perempuan saya inilah, Atika namanya carikan saya cari kerja. Itu pun dah hampir setahun saya diceraikan. Waktu tu dah berkali-kali saya ke sekolah memberi pelbagai alasan agar anak saya tidak dibuang sekolah. Bila dah kerja dapatlah anak-anak bersekolah semula dengan lebih teratur. Naik bas sekolah dan ada duit saku.

‘‘Atika juga mencadangkan saya memohon rumah bandaraya katanya, sewanya murah dan ada dua bilik. Lebih lima kali saya panjat pejabat DBKL dan lebih dua tahun lamanya baru saya dipanggil untuk temuduga dan akhirnya berjaya.

‘‘Saya rasa bersyukur kepada Allah, hidup saya ini tidaklah senang, tetapi ada duit untuk beli beras, dan duit saku serta buku sekolah anak-anak. Kini saya dah tak peduli pasal nak tuntut nafkah lagi. Sebagai orang Islam dia wajib tahu tanggungjawabnya besarkan anak-anak. Saya rasa Allah pun tahu betapa susahnya saya hendak minta nafkah untuk anak-anak. Dan saya serahkan kepada Allah kerana itu adalah urusan-Nya.

‘‘Di sini saya ingin bertanya kepada kaum lelaki mengapa mereka berang bila bercakap tentang isu poligami, konon wanita menentang poligami, tetapi mengapa menyepikan diri bila ada isu tentang suami yang tak beri nafkah kepada anak-anak. Mengapa tak sedarkan kaum sejenis mereka bahawa tugas utama mereka membesarkan anak-anak, kerana anak-anak adalah amanah Allah. Kegagalan mereka akan dituntut di akhirat kelak.

‘‘Saya rasa inilah peranan utama wajib dimainkan oleh kaum lelaki untuk sedarkan kaum mereka, supaya tidak leka hendak berpoligami terutama apabila berbual di kedai-kedai kopi. Jangan fikir bila berpoligami, isteri baru boleh bantu selesaikan masalah kewangan anda. Sebaliknya dengan berpoligami masalah akan jadi lebih besar lagi.

‘‘Saya bercakap benar, saya dah rasa betapa susahnya hidup dipoligamikan. Duit sentiasa tak cukup, sewa rumah sering bermasalah. Dulu Hazri kata, jika dia kahwin lagi, kalau susah isteri baru boleh bantu, gajinya besar. Saya kata itu duit dia takkan dia nak serahkan pada orang. Kata Hazri kalau dah kahwin isterinya wajib bantu dia kalau dia susah.

‘‘Tapi tak sampai setahun kahwin Hazri disuruh ceraikan saya. Sekarang siapa yang susah? Sudah tentu anak-anak. Mereka menderita, sudahlah tak dapat bermanja dengan ayah, makan minum dan nak bersekolah pun susah! Kalau Hazri tak kahwin dulu, tentu nasib anak-anak lebih baik lagi. Jadi dimana baiknya poligami? Yang susah tetap isteri dan anak-anak, yang senang adalah kaum lelaki.’’ cerita Norlina tentang nasibnya yang diceraikan.

Saya setuju dengan pendapat Norlina supaya nasihatkan kaum lelaki beri nafkah kepada anak-anak setelah bercerai atau berkahwin lagi. Sebab yang rugi pasti anak-anak bangsa kita sendiri yang ketinggalan dalam semua segi. Anda tak sedih ke melihat anak-anak bangsa menjadi penagih dadah, penghuni pusat serenti dan jadi mat rempit?