Berkarya gambar kebesaran Allah

Oleh SITI AINIZA KAMSARI


raja Ahmad Aminullah (dua dari kanan) diberi penerangan oleh Osman Akbar mengenai hasil lukisannya pada Pameran Khatat Nuansa Khat Seni Moden bersempena dengan Majlis Tilawah al-Quran peringkat Antarabangsa lalu.


HIDUPNYA cukup pasrah, tidak ada keluhan jauh sekali penyesalan. Baginya mengabdikan diri pada seni tetap diteruskan. Walaupun berat dugaannya, kini Abdul Wafaf Abdul Ghani, artis tanah air tersohor menderita masalah buang pinggang sehingga menyebabkan beliau terpaksa menjalani rawatan cuci darah (hemodialisis).

Bertambah parah, Abdul Wafaf turut mengalami masalah penglihatan apabila matanya semakin kabur. Sedangkan tangannya ingin terus berkarya dek minat terhadap seni yang tidak pernah mati.

Penggiat seni kontemporari khat seperti Abdul Wafaf ini sememangnya seorang yang sangat hebat berkarya. Entah sudah beratus karya telah dihasilkan termasuk bagi karya untuk judul Basmallah (Dengan Nama Allah) sahaja telah dihasilkan sebanyak 800 buah.

Di samping menjadi koleksi peribadi, karya-karya Abdul Wafaf dikatakan telah jauh berada di serata galeri dan muzium di banyak tempat di dunia ini untuk menjadi tatapan umum dan peminat seni.

"Saya berkarya sebagai satu ibadah dan kecintaan saya terhadap Allah. Allah yang sukakan kecantikan dan diberinya saya bakat dan kemahiran maka saya kembalikan semua itu agar kita semua juga semakin mendekati-Nya walaupun atas nama seni!," kata Abdul Wafaf.

Bakat sahaja mungkin tidak memadai kerana beliau mahu mendapatkan keberkatan dari Allah maka seni yang dihasilkan mesti melalui proses yang suci dan bersih.

"Setiap kali saya berkarya, saya mesti dalam keadaan berwuduk, mengarah kiblat dan sambil berzikir terhadap-Nya. Penggunaan air untuk melukis saya pastikan sama ada menggunakan air zam zam ataupun air dari bacaan surah Yasin," ujarnya lagi.

Hasilnya, karya seni Abdul Wafaf memang luar biasa indahnya. Jika yang dihasilkannya hanyalah tulisan-tulisan khat tetapi ia cukup berbeza indahnya berbanding tulisan khat yang lazimnya dibingkaikan dan digantung pada dinding.

Dengan tajuk 'Fatihah Untuk Ibu' karya Shamsuddin Muhammad menyebabkan ramai tersentak. Namun mereka semua mengagumi daya kreatif dan imaginasi tinggi si pelukis.

"Saya tidak mempunyai niat lain ketika menghasilkan karya ini semata-mata dedikasi saya sebagai seorang anak terhadap ibu tercinta. Gambaran ibu saya bersama-sama ayat-ayat dari surah al-Fatihah ini seolah-olah surah itu sentiasa dibacakan buat ibu dan buat penemannya di alam roh itu," katanya.

harmoni

Lukisan kanvas menggunakan cat akrilik karya Shamsuddin ini begitu harmoni apabila paduan latar rona coklat dengan tulisan khat putih yang sekali gus mencetuskan pandangan yang nostalgik terutama mengenangkan zaman seorang anak dibesarkan oleh ibu tercinta.

Jika Shamsuddin berkarya sebagai mengenangkan si ibu tercinta sementara seorang lagi artis terkemuka negara Osman Akhbar mengabadikan zaman lampau yang penuh kenangan di atas lakaran kanvas lukisan bertajuk 'Pedoman' yang benar-benar sarat dengan pelbagai pengajaran.

Namun ramai yang memuji daripada aspek kemahiran Osman yang melukiskan kitab al- Quran yang beralaskan kayu rehal itu seolah-olah 'hidup'. Beliau sendiri mengakui cabaran lukisan ini apabila beliau terpaksa memastikan tulisan ayat-ayat pada halaman kitab al-Quran yang dibuka itu adalah seperti kedudukan yang sebenar.

"Saya perlu mengukur dengan tepat termasuk menulis ayat-ayat tersebut dengan kedudukan yang serong menuju ke tengah muka surat tersebut," katanya.

Segala-galanya dari lukisan itu adalah juga untuk mengangkat keagungan elemen-elemen kebudayaan Melayu dan Islam yang kebanyakannya mungkin telah luput dek telan zaman.

Penggunaan tikar yang dianyam daripada mengkuang yang menjadi alas lantai papan sebuah rumah tradisional Melayu ini dan elemen seperti sejadah, telekung, kopiah putih, rantai tasbih dan sebagainya dari lukisan itu benar-benar mewakili sebuah budaya Melayu berteraskan Islam.

"Sengaja saya menciptakan satu sudut atau ruang Kemelayuan pada lukisan ini kerana tidak dinafikan pada ruang seperti itu kita tidak sahaja menimba kasih sayang.

"Malah kita juga pernah dirotan kerana guru yang mengajar mengaji tidak puas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak muridnya!" kata Osman.

Nama-nama seperti Abdul Wafaf, Shamsuddin dan Ahmad Khalid adalah segelintir yang mewakili banyak lagi nama besar dalam seni kontemporari Khat atau bagi pihak Galeri R A Fine Arts memberikan istilah 'Khatat Nuansa Khat Seni Moden' ketika mempamerkan hasil-hasil karya sedemikian rupa di premis mereka di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nama-nama seperti Syed Ahmad Jamal (Datuk), Shaarifah Zuriah Al Jeffri, Yusuf Bakar, Aris Atan, Mohammad Din Mohammad, Monair Nazir, Maamor Jantan dan ramai lagi merupakan mereka yang tahu menjadikan bakat dan karya seni untuk mencambahkan lagi rasa kecintaan terhadap Allah.

Kreativiti dalam bidang seni lukis yang mereka tonjolkan memberikan lagi sudut-sudut keunikan dan keindahan Islam dan sekali gus kasih terhadap Allah semakin mendalam. Ia tidak semata-mata mengeksploitasikan bakat sekadar untuk mencuba pada sudut-sudut seni yang berlainan.

Menurut pemilik atau Pengarah Galeri R A Fine Arts, Raja Ahmad Aminullah, lazimnya orang ramai atau peminat seni melihat hasil seni lukisan berunsur dan bercirikan Islam dalam bentuk yang agak tradisional.

ciri-ciri keislaman

"Kini dengan mengekalkan ciri-ciri keislaman itu terutama pada tulisan-tulisan khat, tinggal lagi kini ramai pelukis telah keluar dari corak yang tradisional kepada lanskap-lanskap baru yang lebih moden dan kontemporari.

"Sama ada dari karyawan lama mahupun baru, masing-masing cuba memberi nafas baru pada setiap karya yang dihasilkan supaya ia setanding dengan karya-karya seni berunsurkan kontemporari yang lain," jelasnya.

Peluang berkarya seperti ini perlu digalakkan kata Raja Ahmad Aminullah terutama bagi golongan pengkarya muda yang mungkin masih tercari-cari medium seni yang sesuai untuk mereka terus berkarya.

"Jika sambutan diberi kepada penghasilan karya kontemporari Islam seperti ini maka kita akan mempunyai lebih ramai anak muda yang berkecimpung dalam dunia seni yang dapat diterima oleh semua pihak terutama agama itu sendiri.

"Perkembangan seperti ini harus mendapat galakan kerana seni tidak pernah terpisah dari manusia sebagaimana ia ada peranan yang penting dalam membina tamadun manusia," katanya.

Beliau mengutip kata-kata tokoh Islam terkemuka Pak Hamka yang menyebut, "pembinaan tamadun itu tidak cukup dengan hanya pembinaan kota-kota batu tetapi harus diisi jiwa-jiwa yang ada itu".

Walaupun Islam secara tegas mengharamkan objek-objek hidup termasuk manusia dan haiwan menjadi subjek dalam lukisan namun Raja Ahmad Aminuddin percaya perkara itu telah jelas di kalangan para pengkarya.

"Pengharaman adalah jelas jika lukisan benda-benda hidup itu untuk tujuan penyembahan dan pemujaan kerana itu membawa syirik Allah.

"Sedangkan jika objek itu dilukiskan pada satu dimensi sahaja atau tidak sepenuhnya tiga dimensi di tambah lagi untuk tujuan pendidikan dan mengangkat pelbagai falsafah agama itu sendiri saya rasa seni kontemporari Islam mampu menjadi medium dakwah yang paling berkesan," katanya.

Ini kerana kata Raja Ahmad Aminullah, mereka yang dapat melihat atau menafsirkan sesuatu di sebalik yang tersurat seperti lukisan sering memberi kesan kepada minda dan rohani seseorang itu.

Bagi karya seni lukis Islam yang bertunjangkan khat, malah khat yang lebih 'berani' atau lari daripada kebiasaan, beliau yakin masih lagi terpelihara dari segala peraturan dan hukum penulisan apatah lagi yang membabitkan ayat-ayat suci al-Quran.

"Khat dalam bahasa Arab bererti garis. Tapi dalam pengertian khusus ia difahami sebagai tulisan yang baik dan indah (alkitabul jamilah).

"Jadi kita mesti memberikan pelbagai manifestasi baru terhadap khat, agar tulisan yang seindah itu mampu meletakkan martabat Islam pada kedudukan yang paling tinggi pada kaca mata dan minda manusia," katanya.