Wanita, remaja perempuan kematian terbaru H1N1


KUALA LUMPUR - Dua kematian baru dilaporkan semalam akibat Influenza A (H1N1), menjadikan jumlah kematian sehingga kini 76 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, mangsa adalah seorang wanita berumur 45 tahun dari Sabah yang juga menghidap darah tinggi dan seorang remaja perempuan berumur 19 tahun dari Bentong, Pahang.

Beliau berkata, wanita itu dimasukkan ke Hospital Tambunan pada 17 Ogos kerana demam, batuk dan selesema selama tiga hari dan pada hari sama, kesnya dirujuk ke Hospital Keningau untuk rawatan rapi di Unit Penjagaan Rapi (ICU) dan rawatan antiviral sudah dimulakan.

“Bagaimanapun, beliau meninggal dunia 26 Ogos iaitu 10 hari selepas dimasukkan ke ICU kerana komplikasi pneumonia dan kematian direkodkan sebagai ‘severe bronchopneumonia with Acute Respiratory Distress Syndrome’ dan kes disahkan H1N1 melalui ujian makmal pada 19 Ogos,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, mangsa kedua pula dimasukkan ke Hospital Bentong, 30 Ogos lalu, kerana batuk selama lima hari serta demam sehari dan rawatan antiviral juga dimulakan pada hari sama.

Beliau berkata, mangsa sebelum itu mendapatkan rawatan pesakit luar di hospital bagi simptom batuk tanpa demam pada 26 Ogos dan pada 31 Ogos beliau mengalami sesak nafas dan terus dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan di ICU.

“Bagaimanapun, remaja perempuan itu meninggal dunia pada 1 September disebabkan oleh ‘severe pneumonia with H1N1 infection’ setelah kes disahkan melalui ujian makmal pada 3 September,” katanya.

Sementara itu, sejumlah 156 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) dimasukkan ke hospital hari ini untuk rawatan manakala sebanyak 189 kes discaj.

“Ini menjadikan baki seramai 881 pesakit ILI dirawat di 98 hospital, termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 141 pesakit disahkan positif H1N1,” katanya.

Beliau berkata, daripada 141 kes yang disahkan H1N1, sebanyak 37 kes berada di ICU di mana empat kes merupakan kemasukan baru manakala empat lagi kes keluar ICU.

“Daripada 37 kes yang dirawat di ICU, 28 kes mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (sembilan), penyakit respiratori kronik (tiga), obesiti (enam), kanak-kanak bawah lima tahun (lapan) dan hamil (dua),” katanya. - Bernama