Perginya Ibrahim Pendek di Syawal yang pilu

Susunan oleh SHAHRIL ADZRIN

1 Syawal bakal menjelang tiba beberapa hari sahaja lagi, pasti ramai yang tidak sabar untuk pulang ke kampung beraya bersama keluarga tercinta.

Namun tarikh 1 Syawal juga ada menyimpan satu kenangan pahit atau sejarah di mana seorang seniman filem Melayu era Jalan Ampas telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari seluruh umat Islam sedang bergembira.

Seniman Ibrahim Pendek.

Seniman yang dimaksudkan itu ialah Ibrahim Pendek atau nama sebenarnya Ibrahim Hassan. Beliau telah dilahirkan di Taiping, Perak pada tahun 1932.

Beliau merupakan seniman filem Melayu terkenal bukan sahaja terhadap bidang lakonan tetapi juga istimewa kerana beliau dikurniakan dengan tubuh badan yang kerdil iaitu berketinggian 130 cm.

Sepanjang kehidupannya, beliau pernah berkahwin sebanyak dua kali dengan Che Hasnah Mohd Amin dan Asiah Osman.

Kedua-dua perkahwinan tersebut tidak berkekalan dan dalam tempoh perkahwinan tersebut, beliau juga telah dikurniakan tujuh orang cahaya mata.

Penglibatan dan kerjaya seni

Ibrahim telah memulakan kerjaya seninya sejak tahun 1950-an lagi. Beliau telah meninggalkan kampung halamannya pada tahun 1953 untuk ke Singapura merantau mencari rezeki.

Pada masa itu, tidak terlintas di fikirannya untuk menjadi pelakon. Rezeki untuk menapak dalam bidang perfileman datang kepadanya apabila diterima bekerja sebagai operator projektor di Studio Jalan Ampas.

Semasa berkelah, beliau bertemu dengan Run Run Shaw, pemilik syarikat tempat beliau bekerja dan menawarkannya bekerja sebagai budak pejabat di Studio Jalan Ampas.

Sewaktu bekerja di situ, beliau tinggal serumah dengan seniman S. Sudarmaji dan bermula ketika itulah beliau telah mendapat peluang berlakon dalam beberapa buah filem sebagai pelakon tambahan.

Ini berterusan sehinggalah beliau mendapat peluang lebih besar berlakon di dalam filem 'Panggilan Pulau' dengan memegang watak 'Ramli' bersama P. Ramlee, S. Kadarisman dan Normadiah pada tahun 1954.

Selepas itu, kerjaya lakonan beliau terus berkembang dan sesuai dengan karektor beliau yang kelakar, beliau telah diberi peluang berlakon di dalam beberapa buah filem lain, antaranya seperti 'Anakku Sazali', 'Kipas Hikmat', 'Pusaka Pontianak', 'Siti Muslihat' dan beberapa filem di bawah arahan P. Ramlee seperti 'Ali Baba Bujang Lapok' dan 'Nasib Labu-Labi'.

Cipta sejarah

Sewaktu berlakon dalam filem 'Ali Baba Bujang Lapok', pihak Universal International, Hollywood, yang mengadakan lawatan ke Studio Jalan Ampas telah tertarik dengan lakonan beliau dalam filem tersebut.

Dari saat itulah pihak Universal International telah menghantar surat tawaran kepadanya untuk berlakon sebagai pembantu seorang doktor dalam filem keluaran Hollywood.

Bermula detik indah itulah beliau telah mencatat sejarah agung perfileman Melayu kerana beliau adalah pelakon Melayu pertama berlakon dalam filem keluaran Hollywood bersama Rock Hudson dan Gene Rowlands dalam filem 'The Spiral Road' pada tahun 1962.

Selepas mencatat sejarah berlakon dalam filem tersebut, beliau telah ditawarkan sekali lagi oleh pihak Hollywood untuk terus berlakon dalam filem-filem keluarannya.

Salah satu adegan lakonan Ibrahim Pendek dalam filem Hollywood 'The Spiral Road' sekaligus mencipta sejarah menjadi pelakon Melayu pertama berlakon di Hollywood.

Tetapi hajat beliau tidak kesampaian untuk meneruskan kerjaya beliau di sana kerana pihak pemerintah pada ketika itu tidak meluluskan Visa beliau.

Setelah tertutupnya Studio Jalan Ampas di Singapura beliau meneruskan kerjaya beliau di Kuala Lumpur dan berlakon di dalam beberapa buah filem lagi antaranya 'Keluarga Si Comat', 'Penyamun Tarbus', 'Setinggan' dan 'Serampang Tiga'.

Filem terakhir beliau adalah 'XX Ray' arahan Aziz M. Osman pada tahun 1992.

Selepas lama menyepi dari dunia lakonan, beliau banyak menghabiskan masa dengan perniagaan menjual makanan di sekitar tempat tinggalnya di Cheras, Kuala Lumpur. Para pengunjung gemar membeli Nasi Lemak yang dijual oleh beliau.

Walaupun banyak menerima tawaran berlakon, beliau terpaksa menolak tawaran tersebut kerana kesihatan beliau yang tidak mengizinkan dan beliau bimbang tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya.

Bagaimanapun, beliau sempat menghabiskan sebuah telemovie (VCD) dan ia juga merupakan lakonan terakhir beliau bertajuk 'Selamat Hari Jadi Abah'.

Antara filem-filem yang pernah dibintanginya adalah 'Panggilan Pulau', 'Kipas Hikmat', 'Anakku Sazali', 'Ali Baba Bujang Lapok', 'The Spiral Road', 'Siti Muslihat', 'Nasib Do Re Mi', 'Pusaka Pontianak', 'Raja Bersiong', 'Keluarga Si Comat', 'Penyamun Tarbus', 'Setinggan', 'Da Di Du', 'Serampang Tiga Mata', 'Sikit Punya Gila' dan 'XX-Ray'.

Bagaimanapun, beliau telah mengembuskan nafas terakhirnya ketika berusia 71 tahun pada 25 November, 2003 pada pukul 9 pagi ketika umat Islam sedang menyambut Aidilfitri, selepas menjalani pembedahan di bahgian perut di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sebelum itu, beliau telah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua minggu akibat penyakit buah pinggang, paru-paru berair dan sesak nafas.

Jenazah beliau telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Midah, Cheras, Kuala Lumpur.