Hanyut dibelai VIP

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan FIRDAUS SAHAT

metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Baru berusia 16 dan 21 tahun, namun mereka mampu hidup bagaikan selebriti dengan menjadi teman sosial kepada golongan kenamaan (VIP), termasuk bertaraf Datuk.

Sejak terbabit dengan kegiatan itu, Baby dan Liyana dapat membeli pelbagai barangan berjenama mahal.

“Tidak kira masa, jika ada lelaki mengajak keluar, pasti saya tidak menolak walaupun pada Ramadan ini. Asalkan berseronok dan dapat banyak wang, semua permintaan mereka saya penuhi,” kata Baby yang tidak segan silu menceritakan kehidupannya kini.

Baby ditemui wartawan Metro Ahad selepas diperkenalkan seorang sumber yang kini menjadi seorang daripada temannya.

Berbekalkan wajah cantik dan sering tampil dengan imej seksi, dia yang masih bersekolah mengaku rela dibela lelaki miang, apatah lagi golongan bergelar Datuk.
Menurutnya, sejak melakukan perbuatan terkutuk itu ketika usia 15 tahun, dia sudah ditiduri lebih 20 lelaki.

“Saya seronok buat kerja ini. Saya tidak perlu bersusah payah kerana hanya perlu menjadi teman dan melayan nafsu serakah mereka.

“Sudah puas, saya minta wang dan apa saja yang saya mahu,” katanya ketika ditemui di sebuah pusat hiburan baru-baru ini.

Katanya, dia tidak melakukan perbuatan itu atas dasar terpaksa, tetapi kerelaannya sendiri.

Aktiviti songsangnya tiada kaitan langsung dengan masalah keluarga yang hidup sederhana.

“Semuanya kerana pengaruh rakan. Pada usia 15 tahun, saya sering mendengar cerita rakan bagaimana mereka berseronok dengan teman lelaki sampai ke tahap tidur bersama.

“Perasaan ingin mencuba saya ketika itu sangat kuat. Saya cuba berkenalan dengan lelaki menerusi laman sembang di Internet dan dapat berkenalan dengan beberapa orang,” katanya.

Mulanya dia hanya mahu berseronok tetapi apabila lelaki dikenalinya sering memberi hadiah mahal dan duit, dia ketagih melakukan perbuatan sama berulang kali.

“Pernah satu ketika saya melayan seseorang bergelar Datuk. Saya diberi RM1,500 dan selepas itu dia kerap memberi saya wang,” katanya.

Apabila mampu hidup mewah dengan kegiatan tidak bermoral itu, Baby terus melakukannya dan berusaha menambah teman, namun dia hanya memilih lelaki yang ada rupa dan berpoket tebal.

“Bukan saja Datuk, tetapi anak Datuk juga menjadi teman saya. Ada juga orang VIP dan golongan seperti ini lebih gemar membela saya.

“Untuk teman lain, saya hanya diperlukan untuk berseronok. Pergi berhibur di pusat hiburan, bercuti di tempat peranginan. Ringkas kata, mereka mahu saya memenuhi tuntutan nafsu mereka,” katanya.

Baby berkata, ada juga di kalangan lelaki yang menjadikannya teman sosial mahu menjalin hubungan lebih serius dan melamarnya, tetapi dia tidak berminat.

“Kebanyakan yang melamar saya adalah suami orang, tapi saya tolak dengan baik. Saya hanya beri apa yang mereka mahu (seks) dan sebagai balasannya saya mahukan duit. Saya tak mahu terikat dengan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai keluarga, Baby berkata, sikap ibu bapa yang terlalu mempercayainya dan memberi kebebasan penuh antara punca utama dia terjebak dengan perbuatan songsang itu.

“Saya tiada masalah keluar malam, malah pada hujung minggu saya jarang ada di rumah. Pada cuti sekolah, jika ada lelaki mengajak saya bercuti, saya ikut mereka dan beri alasan pada keluarga kononnya saya tidur di rumah rakan.

“Persekolahan juga tidak terganggu kerana saya tidak ponteng sekolah. Justeru, tiada sesiapa syak apa yang saya buat,” katanya.

Dia tidak tahu bila akan berhenti melakukan aktiviti itu walaupun tahu dosa dan risikonya.

“Entahlah... saya tak boleh nak kata apa. Tidak lama lagi Aidilfitri akan tiba dan saya perlu wang untuk beli barangan berjenama.

“Saya tak bimbang apabila ditanya keluarga kerana saya hanya beritahu ia barang tiruan yang diberi rakan. Keluarga tidak kisah,” katanya.

Bagi Liyana, habuan wang ringgit diberi hasil bertukar-tukar lelaki membuatkannya ketagih dengan kebendaan mewah.

Bagaimanapun, berbeza dengan Baby, Liyana tidak mengira siapa asalkan dia mendapat wang.

“Kehidupan saya sebelum ini bukan senang. Bagaimanapun ia berubah apabila berkenalan dengan seorang usahawan. Masa itu saya menjadi teman wanitanya dan apa saja yang saya mahukan pasti dapat.

“Selepas berpisah, saya tidak lagi hidup mewah. Tidak mahu kembali hidup susah, saya menjalin hubungan dengan beberapa lelaki berduit hanya untuk mendapatkan kesenangan,” katanya yang mengakui mula menjadi liar selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ibu bapa gadis terbabit tidak mengetahui aktivitinya kerana mereka memberi sepenuh kebebasan untuk keluar rumah.

Selepas tamat SPM, mereka anggap Liyana sudah dewasa dan tidak ambil berat apa yang dia buat.

Apabila berpeluang melanjutkan pelajaran di kolej swasta, dia semakin ligat melakukan aktiviti songsang itu.

“Nak mencari lelaki yang boleh dibuat teman sosial bukan sukar kerana lelaki yang pernah menjadi teman saya akan memperkenalkan saya dengan rakan mereka yang lain.

“Yang mana saya berminat, saya pikatlah. Jika tidak pun mereka pikat saya,” katanya yang mengakui bertukar lebih 15 lelaki.

Liyana menolak dakwaan yang menyamakannya dengan pelacur.

“Sebenarnya ramai lagi wanita di luar sana melakukan perkara sama secara berselindung. Setiap lelaki yang saya kenali akan menjalin hubungan sama ada sebagai kekasih sementara atau teman sosial. Justeru, tidak boleh disamakan seperti pelacur,” katanya.

Seperti Baby, Liyana juga tidak pasti bila dia akan berhenti melakukan aktiviti terkutuk itu.

Kesenangan dan kemewahan yang dia peroleh kini datang daripada perbuatan itu.

“Lagipun saya masih muda, malah belum lagi terfikir untuk berumah tangga. Bila umur semakin meningkat dan bersedia untuk berkahwin, mungkin saya akan berhenti,” katanya.

>Jadikan anak kawan rapat