Foto peribadi dieksploitasi

RAMAI artis yang menjadi mangsa kontroversi di Internet gara-gara pelbagai foto peribadi mereka.

APABILA blog, portal atau laman sosial yang dimiliki dianggap sebagai laman peribadi, kecenderungan paparan yang dikemaskini juga bersifat peribadi sangatlah tinggi. Ia adakalanya bagaikan sebuah diari.

Dari satu sudut, Internet menjadi medium terbaik untuk seseorang artis berkongsi apa sahaja aktiviti, kegemaran serta luahan isi hati bersama peminat, namun dari sudut yang lain pula ada risiko dan bayaran yang harus mereka tanggung.

Kes salah faham serta penyalahgunaan gambar peribadi artis yang diambil daripada portal milik artis sendiri oleh pihak lain sudah bukan perkara luar biasa dan sering berlaku dalam dunia hiburan.

Lebih malang, daripada sekadar pengisi paparan untuk berkongsi kegembiraan, ia menjadi gurauan dan akhirnya mencetuskan kontroversi. Yang menerima padah ialah artis terbabit.

Beberapa nama popular seperti Zana AF5, Misha Omar, Zarina Ann Julie, Ashraf Sinclair dan Sharifah Sofea sekadar menyebutkan beberapa nama, antara artis yang pernah hangat diperkatakan gara-gara penyebaran gambar panas serta 'permainan' tidak beretika di Internet.

Terbaru, gara-gara gambar panas yang diisi menerusi Facebookmiliknya, seorang peserta program Gadis Melayu musim kedua, Sharifah Jasmine Soraya terpaksa menanggung kontroversi apabila gambar-gambar itu dirujuk tidak mencerminkan seorang gadis Melayu.

Seorang lagi pelakon wanita yang sedang mencipta nama menerusi drama keagamaan Nur Kasih, Tiz Zaqyah juga terkena tempias yang sama. Adab serta tatasusilanya sebagai gadis penuh pekerti di skrin TV sedikit dipersoalkan apabila gambar-gambar berpelukan serta memegang minuman keras memenuhi paparan di Internet.

Salah siapa dan bagaimana gambar-gambar 'tidak manis' sebegitu boleh disaksikan umum, tepuk dada, tanya selera!



Dikritik masyarakat bahkan menerima amaran keras daripada ibu bapa, Sharifah Sofea mengakui penyebaran gambar panas miliknya di Internet tidak berapa lama dahulu berpunca daripada kealpaan sendiri.

"Kalau gambar itu diambil menerusi laman web peribadi artis, itu salah sendirilah. Kalau tidak sengaja memasukkan gambar-gambar sebegitu di Internet, perkara sedemikian tidak akan berlaku. Peliknya, hanya kawan-kawan saya boleh mengakses melihat gambar peribadi berkenaan, tidak tahu pula itu angkara siapa.

"Saya pernah terkena dan sampai sekarang, saya beringat dan bertekad tidak akan ulang perbuatan yang sama. Walaupun bagi saya gambar-gambar bersama teman lelaki itu sekadar suka-suka tapi masyarakat di Malaysia belum dapat menerimanya secara terbuka. Saya kena akur," beritahu Sharifah Sofea mengenai insiden yang pernah berlaku ke atasnya.

Sofea bakal berkahwin dengan teman lelakinya itu bulan depan dan mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku.

"Kontroversi begitu membuatkan nama saya jadi popular tapi bukan itu yang saya mahukan. Tapi saya tak serik untuk berblog, sekarang pun saya baru membina satu foto blog yang hanya akan mengisi gambar-gambar koleksi peribadi saya," jelas Sofea.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Cinta Adam dan Hawa, Misha Omar pula punya pandangan berbeza. Aktiviti sesetengah pihak yang mengambil gambar peribadi miliknya yang terdapat dalam lamanFacebook dan menjadikan gambar berkenaan sebagai bahan kritikan negatif di sebuah laman forum di Internet disifatkan Misha sebagai pencerobohan tidak beretika.

"Saya rasa dipermainkan sebab gambar itu tidak mencerminkan apa yang mereka bahaskan. Rasa menyesal juga timbul kerana menerima semua orang sebagai kawan di Facebook. Saya anggap mereka sebagai peminat malangnya saya pula yang kena," jelas Misha.

Ekoran dipersendakan, Misha mengakui hilang minat untuk aktif dalam mengemaskini laman Facebooknya sama ada menerima teman baru ataupun sebarang status terkini.

"Kadang-kadang rasa tidak adil kepada kawan dan peminat yang benar-benar mahu berinteraksi secara lebih dekat dengan saya. Tapi tekanan sebegitu buat saya rasa tidak berbaloi. Insya-Allah, saya akan membuka blog khas untuk karier sahaja bagi mengelak berlaku perkara yang diingini lagi," ujarnya kesal dengan sikap segelintir pengguna Internet yang suka berselindung menggunakan nama samaran tetapi lantang mengkritik orang lain.