Ekstra Feminin: Peladang jaya


Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bharian.com.my


Siti Noraini Markom

Siti Noraini buktikan pertanian beri hasil lumayan jika diusaha secara gigih

JIKA dulu, orang sekeliling menggelarkan beliau sebagai ‘Ani gila’, tetapi dalam tempoh tujuh tahun Siti Noraini Markom berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap dirinya, malah menjadi pengusaha contoh bagi peladang seluruh negara. Usahanya terbukti apabila beliau menerima beberapa anugerah pada pelbagai peringkat termasuk Anugerah Peladang Jaya Wanita Peringkat Kebangsaan 2009, yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Semua itu bermula gara-gara Siti Noraini tekad menggunakan mesin escalator sewa bagi membersihkan ladang tanaman ubi kayu, keledek dan pisang seluas kira-kira 30 ekar. Walaupun sewanya agak mahal iaitu RM450 sehari, anak kelahiran Selangor itu tahu cara berkenaan dapat meningkatkan pengeluaran hasil tanaman berbanding peladang lain yang melakukannya secara manual dengan mencangkul.

Siti Noraini berkata, walaupun ada yang menganggapnya gila kerana tidak praktikal menggunakan mesin itu, beliau tetap meneruskan usaha dengan cara berkenaan.

Dalam hati wanita berketurunan Jawa itu, beliau ingin membuktikan bahawa petani boleh maju dengan cepat tanpa mengambil peduli kata orang sekeliling, malah bersikap profesional.

Katanya, jika mengerjakan seekar tanah secara manual beliau akan mengambil masa lama iaitu sehingga 15 hari dalam keluasan seekar, sebaliknya apabila menggunakan mesin yang disewa itu beliau mampu menjimatkan masa antara dua hingga tiga hari saja.

“Hasil tanaman tidak dijual, sebaliknya saya mengusahakan pelbagai jenis kerepek antaranya kerepek ubi perasa masin dan pedas; kerepek keledek dan pisang serta pelbagai jenis lain.

“Projek ini dihasilkan selepas mendapat pandangan Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Sulaiman Daud yang mencuba produk pertama saya biskut gulung Belanda dan biskut bangkit kelapa yang dipasarkan sendiri ke 300 kedai sekitar Selangor. Lantaran itu, beliau menyarankan saya menghasilkan produk lebih rangup, tetapi tidak mudah pecah.

“Dari situ, saya mengambil iktibar pandangan menteri lalu berusaha mendapatkan rujukan dengan menghadiri pelbagai jenis kursus anjuran Mara, Belia, Mardi dan Palma. Alhamdulillah, atas bantuan organisasi berkenaan, saya berjaya hingga ke hari ini sebagai usahawan peladang,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Kampung Kundang, Tanjung Sepat, Selangor.

Wanita berusia 47 tahun itu dinobatkan sebagai Peladang Jaya Kebangsaan kategori wanita sekali gus membolehkan Siti Noraini menerima sijil anugerah, plak dan juga wang tunai sebanyak RM15,000 yang disampaikan Muhyiddin Yassin di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka.

Nama beliau dicalonkan oleh Persatuan Peladang Kawasan Batu Laut dalam anugerah berkenaan.

Siti Noraini berkata, dalam tempoh tujuh tahun sejak mengusahakan tanaman itu pada 2003 beliau berjaya membuka ladang seluas 70 ekar (iaitu peladang terbesar dalam komuniti Melayu di kawasannya).

Jika dulu Siti Noraini hanya menghasilkan antara empat hingga lima tan bahan mentah menerusi 30 ekar tanah, kini beliau mampu mengeluarkan lebih daripada 12 tan hasil tanaman menerusi satu ekar tanah. Atas bantuan suami, Mohd Noor Sukimi, 48, beliau mampu menghasilkan antara 100 sehingga 150 kilogram (kg) kerepek dalam sehari.

Beliau akui, sebelum mencapai kejayaan yang dimiliki hari ini pelbagai onak dan duri sudah dilalui, tetapi berkat kesabaran dan kesungguhannya, selain sokongan suami, beliau berjaya mengharungi semua itu.

“Untuk mencapai ke tahap sekarang bukannya mudah. Tambahan pula pelbagai tanggungjawab lain terpaksa dipikul sebagai isteri, ibu dan anak kepada ibu bapa yang ketika itu uzur.

“Selain itu, saya akui, berniaga memang banyak persaingannya. Lebih-lebih lagi terpaksa bersaing dengan seorang rakan yang dianggap ‘guru’ dalam perniagaan sama. Dia mengajar saya cara membuatnya, tetapi saya masih bersedih kerana dia masih di ‘tempat’ yang sama.

“Namun, selepas mendapat bantuan agensi kerajaan yang berkaitan dengan membuka ladang lebih luas, saya terpaksa mengambil pekerja asing dan menyediakan segala keperluan mereka seperti kediaman, kenderaan dan permit. Saya menerima tamparan hebat dan begitu terkilan apabila mereka melarikan diri tidak mahu bekerja,” katanya dengan nada sebak mengingatkan kenangan lama.

Paling menyedihkan hati wanita ini, apabila menceritakan beberapa kali tanaman ubi dan keledek yang sudah ranum untuk dicabut pada keesokan harinya, ranap dikerjakan oleh sekumpulan kera dan babi hutan.

Pernah sekali, beliau hampir putus asa kerana tidak mempunyai pendapatan selama lima bulan selepas tanamannya dirosakkan haiwan berkenaan.

Bekas kerani agensi kerajaan Selangor itu menceritakan sebelum terbabit aktif dalam perniagaan kerepek menerusi jenama Ani Biskut, bapanya juga pernah membuka syarikat membuat biskut Hj Riduan & Anak-anak sejak awal 1980-an.

Begitu pun, pada awalnya, beliau akui tidak mahu membabitkan diri dalam perniagaan kerana hanya mahu bekerja di pejabat yang lebih mudah dan selesa. Tetapi semua itu sudah berlalu. Kini, jenama Ani Biskut semakin meluaskan sayap apabila Siti Noraini sudah mengeksport hasil usahanya ke luar negara iaitu di Perth, Melbourne dan Sydney.

Wanita cekal itu turut merancang untuk membeli dua lagi mesin escalator selepas Aidilfitri nanti bagi menyokong proses peladangan dan membantu perniagaan berjalan lebih lancar. Selain itu, Siti Noraini juga bakal membuka pusat sehenti bagi membantu usahawan kecil memasarkan produk mereka menerusi kursus menjahit, membuat kraf tangan, membuat kuih dan apa saja yang berkaitan.

“Ini membuka ruang kepada golongan wanita mempelajari bidang baru di samping belajar bagaimana untuk mempromosikan hasil kerja mereka. Saya ingin wanita tahu tidak kira apa saja bidang yang diceburi, mampu mendatangkan pulangan lumayan jika ada kesungguhan dan rajin mendapatkan ilmu.

“Oleh itu, saya menasihatkan golongan muda supaya menceburi bidang pertanian ini selain ia menyeronokkan, bebas daripada kongkongan dan memberi peluang menentukan sendiri berapa besar ‘gaji' yang kita mahu,” katanya yang memperoleh pendapatan bersih RM456,000 setahun atau RM38,000 sebulan.

INFO: Siti Noraini Markom

  • Suami: Mohd Noor Sukimi
  • Anak: Norsyafika berusia 18 tahun, Norshaqira (15), Mohd Syafiq (13) dan Norsholeha (11).
  • Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia 1982, Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Laut
  • Syarikat: Mengeluarkan jenama Ani Biskut.
  • Anugerah dan Pencapaian: Peladang Jaya Kebangsaan kategori wanita 2009; Peladang jaya Kawasan 2008.
  • Hubungi : ani_biskut@yahoo.com