Merealisasikan impian



Peraduan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysia mampu merealisasikan impian pasangan untuk mengadakan majlis perkahwinan yang gemilang.


DALAM suasana ekonomi yang tidak menentu sekarang ini di mana penawaran tenaga kerja yang melebihi permintaan pasaran menyebabkan ramai pasangan terpaksa menangguhkan keinginan untuk berumah tangga.

Alasan utama bagi penangguhan itu ialah tidak mampu menyediakan perbelanjaan untuk majlis perkahwinan yang sekarang ini semakin mahal dan secara purata boleh mencecah lima angka.

Jumlah RM10,000 dikira paling minimum dan jika pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga itu baru bekerja, pasti sukar mendapat majlis perkahwinan yang diidamkan.

Justeru penganjuran Peraduan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysia (Gerbang Cinta) bersama 10 penaja sebagai rakan pintar disifatkan sebagai tepat pada waktunya.

Rata-rata orang ramai yang ditemui baru-baru ini nyata memuji usaha murni peraduan itu yang menawarkan hadiah majlis perkahwinan secara percuma.

Bagi Zuraidah Muhamad, 28, dari Muar, Johor, belanja perkahwinan memang membebankan bakal pengantin, malah ada yang terpaksa membuat pinjaman bank semata-mata untuk memastikan majlis mereka menjadi meriah seperti yang diidamkan.

"Dengan adanya pertandingan seperti ini, sekurang-kurangnya mereka boleh mencuba nasib dan siapa tahu kalau bernasib baik boleh mendapat majlis perkahwinan impian tanpa perlu mengeluarkan bajet," katanya.

Pendapat tersebut turut dipersetujui Nor Haniza Abdul Hadi, 29, dari Kajang Selangor yang menganggap peraduan Gerbang Cinta membuka peluang bakal pengantin bukan sahaja untuk mendapat perkahwinan yang diidamkan malah muncul di akhbar.

"Pemenang bukan saja tidak perlu keluar duit untuk belanja kahwin malah mendapat publisiti serta kenangan yang amat berharga yang tidak akan ada pada orang lain.

"Jika saya belum berkahwin, pasti saya orang pertama menghantar penyertaan untuk peraduan yang sungguh menguntungkan ini," katanya.

Bagi Rosliza Mohd Nor, 43, Serdang, Selangor, pula kehadiran peraduan seperti ini memang tepat pada masanya kerana dalam keadaan kegawatan ekonomi ramai pasangan yang terpaksa menangguh perkahwinan atau melaksanakan majlis ala kadar kerana tidak dapat memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk majlis persandingan yang gemilang.

Menurutnya, Gerbang Cinta merealisasikan impian mereka yang inginkan majlis perkahwinan yang akan menjadi kenang-kenangan seumur hidup.

"Semoga bakal pengantin di luar sana merebut peluang keemasan ini dan saya dapat tahu syarat yang dikenakan juga amat muda," katanya.

Sementara itu, Aida Nordin, 35, pula berkata, selain memberi peluang kepada bakal pengantin menikmati perkahwinan impian tanpa mengeluarkan wang, peraduan ini juga dapat mengetengahkan kreativiti serta bakat-bakat baru dalam bidang pengurusan perkahwinan.

Semoga Utusan dapat wujudkan banyak lagi peraduan yang boleh mendekatkan pembaca dengan akhbar".