Karya ulama silam didedah



KUALA TERENGGANU – Pameran Koleksi Karya-karya Ulama Silam Dunia Melayu sempena Forum Perdana Konvensyen Modal Insan Peringkat Luar Bandar di masjid Kampung Pulau Manis, di sini, memberi pendedahan kepada masyarakat umum bahawa ulama silam Melayu juga hebat memainkan peranan menyebarkan dakwah di peringkat antarabangsa.

Setiausaha Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (Pengkaji), Abdul Halim Muhamed berkata, pameran dikendali pihaknya bertujuan mengangkat jasa dan sumbangan ulama silam Melayu seperti Sheikh Daud Abdullah Al-Fatani, Sheikh Mohd Arshad Al-Banjari, Sheikh Abdul Samad Al-Pelembani dan Sheikh Ahmad Fatani dalam penyebaran Islam di Nusantara dan antarabangsa.

“Sebelum ini masyarakat sering mendengar kehebatan ulama tersohor seperti Imam Al-Ghazali dan tidak tahu tentang kehebatan ulama di Alam Melayu.

“Ulama Melayu juga hebat kerana ada antara mereka menjadi imam dan mengajar di Masjidil Haram, menjadi hakim di Mekah dan menjadi penasihat Sultan Turki Uthamaniah (Sultan Hamid Han II),” katanya kepada Sinar Ha-rian pada pameran berkenaan di masjid Pulau Manis, Serada, di sini.

Menurutnya, peranan ulama dan pemerintah (umarak) dapat digandingkan untuk kesejahteraan rakyat seperti Sultan Zainal Abidin III di Terengganu yang menerima nasihat dan menjadi murid kepada Sheikh Ahmad Al-Fatani.

“Kita juga berharap pameran dan jualan seumpama ini dapat menyebarkan mengenai kewujudan kitab-kitab lama meskipun pada waktu ini kitab seperti ini telah ditelan arus pembangunan zaman.

“Pameran ini juga mampu membuktikan jika ulama tidak mempunyai karamah (kehebatan) masakan kitab mereka masih diajar sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, pameran itu menghimpunkan koleksi cetusan Almarhum Wan Mohd Shaqhir Abdullah yang merupakan penyelidik dan penulis biografi ulama silam dunia Nusantara.

“Beliau merupakan penulis biografi ulama Nusantara di sebuah akhbar harian sejak 2004 hingga 2007 dan penyelidikan dibuat sejak beliau berumur 12 tahun hingga meninggal dunia pada umur 56 tahun.

“Sebanyak 300 siri keturunan ulama dihasilkan sepanjang 48 tahun membuat penyelidikan,” katanya.

Sebanyak 140 siri kitab Melayu Jawi karangan ulama silam Melayu yang sudah tidak diterbitkan turut dijual.