Diri pada tahap nafsu mardiyah diredai Allah

MINGGU lalu kita membincangkan mengenai nafsu ammarah, tangga paling rendah yang mengakibatkan diri selalu diselubungi keburukan dan maksiat.

Di tangga kedua ialah nafsu lawwamah, kemudian diikuti tahap lebih baik nafsu mulhimah, muthmainnah dan nafsu radiah serta mardiyah.

  • Nafsu lawwamah - Nama ini diambil daripada al-Quran, sebagaimana pada ayat 2 dari surah al-Qiyamah, maksudnya: "Dan aku bersumpah dengan an-nafsul-lawwaamah (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)."

    Diri pada tahap ini meningkat sedikit, berbanding diri yang dikuasai nafsu ammarah.

    Jika pada tahap nafsu ammarah diri tidak terkilan dengan kesalahan dilakukan, bahkan megah dengan dosa, tetapi pada tahap ini diri kesal atas keterlanjuran dan kekurangannya menunaikan kewajipan.

    Di dalam diri terasa seperti ada sesuatu yang mencelanya. Tetapi dengan adanya suara celaan dari dalam diri itu menunjukkan ia masih hidup. Walaupun berpenyakit masih belum parah.

  • Nafsu mulhimah - Sesetengah ulama tidak memasukkan tahap ini dalam peringkat sifat yang dilalui diri manusia. Tetapi ramai juga dari kalangan ulama terutama ahli sufi yang memasukkan peringkat ini seperti diisyaratkan al-Quran, maksudnya: "Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketakwaan." (as-Syams:8)

    Nas terbabit pada amnya menjelaskan manusia boleh menerima suatu saranan di dalam dirinya sama ada berunsur kejahatan atau kebaikan. Ini juga menunjukkan diri seseorang sentiasa diilhamkan dua unsur; kejahatan dan kebaikan.

    Berdasarkan nas dan sejarah hidup manusia sepanjang zaman membuktikan di dalam diri manusia ada satu daripada dua unsur itu, seperti suatu alat yang dapat mengesan gelombang suara dari alam ghaib.

    Fenomena ini adalah realiti yang diakui tanpa diragui. Dalam bidang ilmu, fenomena ini dikaji ahli psikologi.

    Pelbagai pendapat dan istilah dikemukakan, namun semua kajian menyakini fenomena terbabit sekalipun berbeza dari segi penafsirannya.
  • Nafsu muthmainnah - Nafsu di tahap ini lebih sempurna, dari sudut usaha menyucikan (tazkiyah) dan melakukan jihad (mujahadah) terhadap nafsunya.

    Hasil dari jihad nafsu yang tabiatnya sentiasa bergelora dan membara tanpa ada batas kepuasan, berpandukan syariat Allah dan jauh daripada maksiat, zahir dan batin, menjadikan diri mencapai ketenangan.

    Peringkat ini tidak dapat dirasakan melainkan selepas diri merasakan damai terhadap hukum Allah dan manhajnya, ketentuan qada dan qadar (takdir), mengingati Allah dan khusyuk dalam ibadat.

    Malah, diri tenang menghayati konsep kehambaan diri kepada Allah, sentiasa kembali kepada Allah dan hatinya pula sejahtera daripada segala penyakit.

    Diri dalam peringkat ini akan mudah terasa dengan kesalahan dan dosa manakala ukuran dan timbangan terhadap sesuatu amal kebaikan semakin cermat.

    Kedamaiannya dinikmati oleh diri dan oleh orang sekelilingnya, bahkan kadangkala menjadi penaung kepada mereka yang diburu kerisauan dan keresahan hidup.

    Diri di peringkat inilah yang mendapat panggilan Ilahi sebagai hamba-Ku (ibadi) dan tentunya akan mendapat ganjaran syurga.
  • Nafsu radiyah - Diri di tahap ini dapat mendiamkan syaitan dari dalam dirinya. Allah menurunkan ketenangan ke dalam hatinya.

    Diri akan menghayati sifat reda dan menjadi maqamnya (tahap kedudukan), namun diri ini masih bimbang dan berasa belum diterima Allah.
  • Nafsu mardiyah - Diri di tahap ini diredai Allah. Diri yang mencapai peringkat ini akan dapat merasakan maqamnya (tahap kedudukan) diterima Allah.

    Tetapi rasaan ini bukanlah suatu yang dibuat-buat dan sekadar satu dakwaan sedangkan sebenarnya tidak ada pada batin dirinya.

    Rasaan itu adalah pemberian Allah sebagai 'busyra' (khabar gembira) dari Allah kepada hamba-Nya yang diredai ketika mereka masih lagi hidup di dunia.

    Istilah pada diri di tahap ini diilhamkan dari al-Quran. Tahap ini yang dihayati serta dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan keazaman oleh tokoh kerohanian Islam seperti ahli sufi.

    Bagi kita yang bukan ahlinya dan tidak menempuhinya, selayaknya kita menerimanya selaras dengan anjuran al-Quran.

    "Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu melainkan orang lelaki yang Kami wahikan kepada mereka; maka bertanyalah kamu kepada ahlu'dz-dzikri jika kamu tidak mengetahui." (al-Anbiyaa':7)