Direnjis-renjis: Perkahwinan penuh nostalgia

Oleh Sariha Mohd Ali
sariha@bharian.com.my


Rithopa dan Saiful anggun dalam persalinan songket bunga tabur milik arwah neneknya.

Songket merah bunga tabur milik arwah nenek bangkit seri pengantin

MENUNGGU saat diijab kabul adalah detik paling membahagiakan bagi pasangan mempelai kerana selepas itu, status diri akan berubah disertai tanggungjawab baru yang akan dipikul bersama. Selepas sekian lama merancang bagi memastikan hari bersejarah itu berlangsung penuh meriah tanpa cacat cela, setiap perkara pasti diperincikan dan diberi perhatian.

Bagi pengantin perempuan yang bakal menjadi perhatian tetamu, sudah pasti persiapan diri tampil menawan menjadi fokus utama kerana hari itu, dialah yang bakal bergelar permaisuri kepada raja seharinya. Antara yang diberi tumpuan, sudah pasti persalinan busana yang akan digayakan di atas pelamin dan solekan yang akan mengubah penampilan agar berbeza berbanding biasa.

Bagi perunding perkahwinan, Rithopa Tantiana Thopatalam, 25, perkahwinannya dengan Saiful Anuar Ahmad, 25, pada Ogos tahun lalu, bukan saja mengembalikan semula keunikan perkahwinan tradisional Perak, malah lebih menarik dan menjadi sentimental apabila dia menyarung busana yang pernah digunakan arwah neneknya, pada hari bahagia berkenaan.

"Menjelang hari perkahwinan, saya buntu memikirkan busana pengantin yang akan digayakan kerana terlalu banyak yang ditawarkan pasaran. Melihat saya seperti sukar membuat pilihan, ibu saya, Puan Sri Rozita Mawi kemudian mencadangkan supaya saya menggunakan kembali baju perkahwinan yang digunakan arwah nenek yang sudah disimpannya selama lebih 70 tahun.

"Memang saya terkejut dengan cadangan itu kerana tidak menyangka ibu masih menyimpan dengan baik baju songket bunga tabur berwarna merah milik arwah nenek. Paling mengharukan, ibu juga memberikan hiasan cadar, batal pengantin dan kipas yang ditekat penuh berseni, juga milik arwah nenek untuk digunakan pada majlis perkahwinan saya.

"Selepas berbincang dengan Saiful, kami sepakat tampil dengan busana lama itu, tetapi baju Saiful perlu ditempah kerana pakaian pengantin arwah datuk, tiada dalam simpanan ibu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rithopa Tantiana berkata, baju kebaya songket itu ditampilkan dengan kain songket sama seperti kain pelikat yang perlu diikat sendiri. Bagi mengindahkannya, aksesori kerongsang besar tiga tingkat digunakan pada busana, selain memakai aksesori hiasan di tangan, gelang kaki dan rantai leher berpotongan tradisional bagi menaikkan seri pengantin.

"Istimewanya, baju kebaya arwah nenek ini tidak perlu diubahsuai langsung kerana saiznya berpadanan dengan badan saya. Memang majlis ini penuh nostalgia kerana selain memakai persalinan arwah nenek termasuk untuk hiasan bilik pengantin, ianya juga seakan mengembalikan kegemilangan perkahwinan tradisional Melayu lama di Perak.

"Bagi menjadikan penampilan lebih menawan, saya turut memakai gelang Perak di tangan dan hiasan cucuk sanggul milik ibu yang turut digunakan ketika perkahwinan ibu dengan papa, Tan Sri Abdul Aziz Zainal," katanya.

Rithopa Tantiana yang dikurniakan dua cahaya mata, Adam Darwisyh,1, dan Adel Darwisyah, empat bulan, turut menggayakan pakaian perkahwinan serikandi Perak berwarna hijau, selain busana masyarakat Minangkabau dalam sesi menukar pakaian di atas pelamin.

"Memang nampak sarat dengan hiasan penuh di kepala tetapi saya memang sukakan sesuatu yang unik dan penuh sentuhan tradisional terutama pada hari bahagia yang akan diingati sampai bila-bila.