Dadah dalam lubang tandas, pengedar dicekup



KUALA TERENGGANU - Taktik pemandu bot pelancong mengepam 1,940 biji pil kuda dalam lubang tandas bagi menghilangkan bukti tidak berhasil apabila ditahan polis dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin.

Suspek seorang lelaki berusia 25 tahun dikatakan mengepam dadah itu sebanyak dua kali sebelum bertindak menolaknya ke dalam lubang tandas dengan menggunakan tangan setelah mendapati ia masih terapung dan tidak tenggelam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid berkata, tindakan suspek gagal dan polis berjaya mendapatkan kembali bungkusan dadah dianggarkan bernilai kira-kira RM80,000 itu.

Menurutnya, lelaki yang berasal dari Kampung Sungai Ular, Kuala Berang itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Kenanga, Hulu Terengganu sebaik saja melakukan risikan dan mendapat maklumat daripada orang ramai.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek yang ketika itu berada di depan pintu telah masuk dan mengunci pintu rumah namun kita berjaya masuk sebelum menahan serta mengesan lokasi dadah disembunyikan.

“Polis akhirnya berjaya menemui bungkusan mengandungi pil kuda yang dibuang ke dalam lubang tandas dan dadah ini dipercayai untuk edaran kawasan Hulu Terengganu, Kuala Terengganu serta Marang,” katanya.

Roslan berkata, suspek ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori dan pihaknya sedang mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan.

Sementara itu, dalam satu serbuan ke atas sarang dadah di kawasan Padang Tengir, Manir jam 7.20 pagi semalam, polis menahan dua pengedar dadah berusia 35 tahun bersama lapan botol dadah jenis Heroin.

“Dadah bernilai RM7,500 ini dirampas dalam beg pinggang dan disembunyikan di bawah tempat duduk sebuah motosikal,” katanya.