Apabila talak jadi mainan


SETELAH bertahun-tahun mengikuti ruangan DCCK ini saya rasa terpanggil untuk berkongsi kisah hidup saya untuk pembaca jadikan panduan. Pertama supaya jangan jadi bodoh macam saya, terlalu mudah memaafkan dan ketiga terlalu sayang hingga jadi penakut hingga sanggup bergelumang sama dengan dosa.

"Kadangkala saya rasa tidak ada keadilan dalam hidup ini, kerana lelaki baik dipasangkan dengan perempuan kurang baik, sementara wanita baik dipasangkan dengan lelaki tidak baik kelakuan dan perangainya, macam suami saya," demikian cerita Norhaniah dari Johor dalam e-mel yang dihantarkan kepada penulis.

''Untuk mengetahuan kehidupan saya rasanya baiklah ikuti susur-galur hidup saya dari awal lagi. Saya anak yang tua dari 5 orang adik beradik. Sejak kecil kami dilatih mengikut budaya timur dan mendapat didikan agama yang cukup hinggakan saya boleh berzanji, marhaban dan bernasyid, dan saya sering mengikut ibu menyertai kumpulan marhabannya. Anak pak iman katakan!

"Kerana didikan jugalah pergaulan saya tak bebas, walaupun saya boleh bersukan di sekolah, tetapi ada hadnya dan saya sentiasa diawasi. Kawan-kawan tidak dibenarkan ke rumah kecuali belajar. Begitulah hidup saya hingga berhenti sekolah.

''Lepas sekolah saya dikenalkan dengan Zek oleh kawan saya kebetulan emaknya kawan marhaban ibu saya. Kerana kawan, ibu benarkan. Tetapi sebelum itu saya kenal dengan Shah, tetapi ibu tak suka, hubungan kami putus. Dua tahun lamanya saya berkenalan dengan Zek akhirnya kami bertunang.

''Tapi sedihnya, perangai Zek di luar nampak baik, lemah lembut, tetapi sebenarnya dia kaki perempuan. Rahsianya terbongkar ketika saya dapat peluang bekerja di KL, saya nampak sendiri bila dia berdating dengan kekasihnya. Malangnya peristiwa itu membawa kepada pergaduhan besar kami. Zek mengugut memutuskan pertunangan kalau saya mengadu ke kampung. Tetapi saya tak boleh berdiam diri, akhirnya kami putus.

''Walaupun peristiwa itu melukakan hati, tetapi kesibukan tugas menenangkan semula hati saya. Hingga akhirnya saya berkenalan dengan Yus. Kenal tak sampai setahun Yus hendak meminang saya. Tak sampai setahun bertunang kami berkahwin. Ibu nampak sesuai melihat perangai Yus tetapi Yus pandai berdrama dia boleh menggambarkan dirinya seorang lelakigentlemen.

''Selepas berkahwin barulah saya tahu siapa Yus sebenarnya, rupanya dia suka balik lewat dari pejabat kerana dia suka berjudi. Dia memang kaki judi. Malangnya perangai buruknya tak boleh ditegur.

''Kerana subur setahun kemudian saya melahirkan anak sulung, kerana ingin membaiki taraf hidup saya menyambung pelajaran untuk mendapatkan diploma. Kerana itu saya minta bantuan ipar saya menjaga anak semasa saya bekerja dan belajar. Lagi pun balik awal tak ada gunanya, kerana Yus lebih suka duduk di meja judi.

''Dua tahun kemudian tambah seorang lagi anak. Yus tetap senang di meja judi. Kerana marah pernah saya hantarkan nasi bungkus dan air untuk dia makan sambil berjudi, tetapi Yus mengamuk kerana kehadiran saya ke 'reban' judinya.

mengelak

''Suatu hari saya ajak Yus pulang bersama lepas pejabat, dia mengelak, dalam bas saya nampak dia berjalan berpimpin tangan dengan seorang wanita. Saya segera turun bas dan saya ikut dia dari belakang. Terkejut besar Yus bila saya tegur gadis tersebut, rupanya pada gadis itu Yus mengaku masih bujang. Bila sampai rumah, Yus mohon maaf tak buat lagi, macam dia mengaku tak mahu berjudi lagi, tetapi dia masih buat.

''Saya fikirkan lepas itu tentu dia berubah baik, tetapi dalam diam dia balas dendam tuduh saya buat hubungan dengan pensyarah. Kerana nak tunjuk benar dia tumbuk pensyarah tu. Balik rumah dia kami bertengkar dan Yus lepaskan saya talak satu.

''Selepas beberapa hari bercerai dia ajak rujuk semula. Kerana sabar saya ikut saja. Tak lama kemudian saya mengandung anak ketiga, lepas bersalin ketika saya masih atas katil hospital, Yus tanya ini anak siapa, sebab tak ada rupa dia langsung atau ikut anak-anak yang lain. Ya Allah sakitnya hati, sakit belum pulih saya dituduh berzina.

''Tak lama kemudian Yus bertukar kerja, rezekinya berlimpah luah, kehidupan yang sederhana berubah menjadi lebih baik. Saya pun naik pangkat. Tapi Yus ditukarkan ke utara. Saya tak membantah kerana itu pilihannya. Dia akan pulang hujung minggu sahaja itupun katanya kalau tak ada kerja tambahan.

''Kerana berjauhan, ekonomi pun dah stabil, saya berhenti kerja, senang untuk saya berulang alik, tapi dalam hati Yus dia tak suka, dia tak mahu pergerakannya saya tahu, kerana dia dah ada kekasih. Satu malam kami bertengkar dan Yus lafazkan talak kali kedua. Macam biasa bila dah tenang dia ajak rujuk semula.

''Bila menung saya terfikir hidup saya macam telur hujung tanduk, sesuka hati bila nak diceraikan. Tetapi kerana anak saya sabar juga, walaupun saya tahu dia memang ada wanita lain. Maklum dia sudah selesa hidup sendirian di utara.

''Kerana anak saya kerap turun naik. Satu hari saya terima SMS dari seorang wanita mengaku buat hubungan dengan Yus. Sekali lagi saya ke utara, malam itu kami bergaduh lagi, macam biasa saya diceraikan kali ketiga.

''Esoknya saya balik KL, sebulan saya tak boleh tidur lena, bila hujung minggu saya jadi takut. Bila Yus balik saya elakkan diri tidur bersama, tapi Yus tak mengaku dia dah jatuhkan talak, bila ajak ke pejabat agama dia mengelak. Katanya saya sengaja buat isu sengaja nak bercerai. Saya pergi ke pejabat agama sendirian, saya disuruh membuat laporan bersama suami. Malangnya Yus tak mahu pergi.

''Sekarang, 2 tahun telah berlalu, Yus masih tidak mahu membuat pengakuan ke pejabat agama. Saya rasa sukar hidup begini, hidup bergelumang dosa, bukan itu saja Yus juga seorang kaki judi, dan kaki perempuan. Dia juga tak pernah sembahyang apa lagi sembahyang berjemaah bersama keluarga.

''Namun pada pandangan masyarakat, keluarga dan saudara mara, kami masih suami isteri, pasangan ideal, tak pernah bergaduh, paling bahagia, kami jadi tempat orang mengadu bila ada masaalah, atau kekurangan wang ringgit. Bila ada kenduri kendara, kedatangan kami dinantikan, kalau raya, ketibaan kami diharapkan.

''Tetapi sebenarnya jiwa saya menderita selagi tidak ada pengesahan talak yang Yus dah lafazkan, dia takut kerana sudah tiga kali dia lafazkan talak. Saya tak mahu lagi berdepan dengan perasaan yang serba salah ini, kalau saya pergi ke pejabat agama lagi Yus kata saya nak bercerai sangat, sebab ada kekasih yang menunggu. Sampai bila saya mesti menanggu penderitaan ini, dan sampai bila saya mesti bergelumang dengan dosa.''

Demikian deritanya hati Norhaniah, yang hanya boleh dijawab oleh suaminya, tetapi kalau tidak ada ketegasan dari diri Norhaniah sendiri, segalanya memang sukar dilaksanakan. Talak memang senang dilafazkan, tetapi sukar dilaksanakan. Takut jadi orang gila talak.