KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menahan dua lelaki kerana mengedar dadah dalam satu sekatan jalan raya yang dilakukan di kilometer 154, laluan Kuala Terengganu menghala Kuantan berhampiran Chendor, Kemaman kelmarin.

Turut dirampas adalah 10 botol ketulan dadah jenis heroin seberat 43 gram bernilai kira-kira RM1,500 yang disimpan di dalam kereta dan wang sebanyak RM1,100 dipercayai hasil jualan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid (gambar) berkata, kedua-dua lelaki yang menaiki Proton Wira itu ditahan pada jam 9.30 malam kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, suspek berusia 29 dan 25 tahun yang bekerja sebagai operator kilang dan mekanik itu dipercayai dalam perjalanan dari negara jiran ke Kuala Lumpur selepas mendapatkan bekalan dadah di sana.

“Hasil ujian air kencing, kita dapati kedua-dua suspek positif mengambil dadah jenis methaphetamine dan kini mereka ditahan reman sehingga 7 Jun depan untuk siasatan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Beliau berkata, selain positif dadah suspek turut mempunyai rekod jenayah seperti kes pecah rumah, dadah dan seorang daripadanya masih lagi dibicarakan di mahkamah atas kesalahan berkaitan dadah.

“Mereka ditahan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan dan Seksyen 15 (1)(a) bawah akta yang sama kerana masukkan dadah dalam badan,” katanya.