3 projek mega dipantau


Pemandangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Mei tahun lalu sebelum ia digunakan untuk Sukma 2008.


KUALA TERENGGANU 3 Jun - Bimbang dengan kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam berulang, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan kerja Raya (JKR) memberi perhatian ke atas tahap keselamatan beberapa projek mega yang baru siap di negeri ini.

Tiga projek yang tahap keselamatannya menjadi persoalan sekarang adalah terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak, Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Berikutan itu, hari ini, arahan dikeluarkan kepada JKR supaya memeriksa tahap keselamatan tiga bangunan baru tersebut bagi mengelak kejadian semalam berulang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika mengeluarkan arahan itu berkata, pemeriksaan perlu menjurus kepada aspek teknikal dan reka bentuk serta sama ada pembinaan tiga projek itu mengikut spesifikasi atau tidak.

Ahmad memberi contoh, ada kepingan atap bangunan LTSM yang sudah tercabut menyebabkan berlaku kebocoran yang memerlukan tindakan dilakukan.

''Tidak tahulah sama ada bumbung tercabut dipukul ribut, tapi kita kena tengok takut ada masalah lain. Kita bimbang juga sebab semua bangunan ini baru belaka.

''Mungkin buatannya kasar sangat atau ada perkara yang tidak betul. Arkitek sepatutnya mengambil kira faktor cuaca. Terengganu berada di tepi pantai, angin monsun bertiup kuat dan ini akan membebankan struktur bangunan. Sepatutnya binaan mesti lebih kukuh," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau menolak anggapan bahawa arahan serta kebimbangan itu disebabkan faktor pembinaan bangunan-bangunan itu disegerakan untuk penganjuran kejohanan tertentu di negeri ini.

Menurutnya, pembinaan semua bangunan itu mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), malah ada yang mengambil lebih masa untuk disiapkan.

Jelasnya, kerajaan negeri tidak menetapkan tempoh masa untuk pemeriksaan tersebut agar supaya kajian terperinci dapat dilakukan dan hasilnya tidak akan dipersoalkan kelak.

Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2008 pada 31 Mei hingga 9 Jun tahun lepas.

Bangunan terminal LTSM bernilai RM123 juta yang pembinaannya bermula tahun 2004 sepatutnya siap pada Ogos 2007, namun tertangguh hingga April 2008.