Islam selesai masalah remaja

GONG PASIR - Gejala keruntuhan institusi keluarga adalah satu fenomena yang kini menjadi persoalan utama masyarakat di negara ini.

Walaupun pelbagai pendekatan dilakukan untuk menanganinya, gejala ini terus berleluasa sehingga belum diketahui bilakah penghujungnya.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat, pendekatan agama yang meletakkan Islam sebagai asas dalam kehidupan sebuah keluarga adalah jalan penyelesaian terbaik untuk menangani krisis yang kian parah melanda masyarakat kini.

Beliau yang juga bekas seorang pensyarah berkata, perkara utama yang harus diberikan perhatian untuk menangani krisis ini adalah mengenal punca remaja berkelakuan sedemikian.

“Sebagai umat yang berpegang kepada ajaran Islam, kita mesti menjadikan agama peninggalan Nabi Muhammad SAW ini sebagai panduan untuk mengatasi setiap masalah dihadapi.

“Antara perkara yang harus diberi perhatian ibu bapa adalah, melihat dari sumber manakah makanan yang diberikan kepada keluarga, apa yang ditonton, siapa rakan sebaya mereka serta kaedah memberikan pendidikan kepada anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah motivasi keluarga anjuran Pas Cawangan Gong Pasir dengan kerjasama daripada Jawatankuasa Penerangan Pas Kawasan Dungun di sebuah surau dekat sini.

Menurut Tuan Ibrahim, orang tua zaman dahulu walaupun tidak berpendidikan tinggi, namun meletakkan agama dan adat sebagai asas pendidikan kepada anak-anak mereka.

Katanya, generasi muda hari ini harus segera diselamatkan, dan ibu bapa memainkan peranan utama mengawal tingkah laku anak-anak daripada terjebak dengan gejala sosial, melalui pembentukan akhlak yang sempurna mengikut ajaran Rasulullah.